ad
AGENDA

Menteri: Kementerian Pertahanan siasat kes buli pegawai kadet UPNM

1 Nov 2024, 9:30 AM
Menteri: Kementerian Pertahanan siasat kes buli pegawai kadet UPNM

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Siasatan berhubung kes pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera penuntut senior akan dilaksanakan Kementerian Pertahanan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata ini termasuk mengenal pasti pelaku, dan pelaksanaan cadangan bagi menempatkan warden dalam setiap dorm kadet berkenaan.

Beliau berkata bagaimanapun kementeriannya akan turut membantu siasatan berikutan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu gejala buli dihapuskan daripada semua institusi pendidikan di negara ini.

“Kita kena faham dalam konteks ini ada dua institusi yang bertanggungjawab iaitu UPNM dan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).

“Kes ini berlaku di ALK namun kita tidak boleh melepaskan begitu saja seperti yang disebut Perdana Menteri. Apa saja, institusi mana sekalipun perlu diberikan perhatian serius kerana buli melampau tidak boleh kita benarkan,” katanya ketika ditemui di Masjid UPNM di sini hari ini.

Zambry berkata UPNM dan ALK mengamalkan sistem unik dalam pendidikan seseorang kadet iaitu mereka akan berada di bawah UPNM ketika kuliah akademik dari 8 pagi hingga 5 petang dan selain itu mereka di bawah bidang kuasa ALK.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet ALK UPNM yang dibuli senior menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti tular menerusi media sosial.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) masih mengumpulkan maklumat mengenai dakwaan seorang lelaki yang MyKad dan lesen memandunya ditemukan di medan perang di Ukraine sedang melanjutkan pengajian di negara terbabit.

“Kita komen nanti sebab buat masa ini masih dapatkan maklumat lengkap berkaitan isu ini,” katanya.

Bernama sebelum ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menghubungi Kedutaan Rusia di sini berkenaan dakwaan seorang warga tempatan terlibat sebagai askar upahan dalam konflik antara negara itu dan Ukraine.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.