SHAH ALAM, 1 NOV: Selain media sosial, hebahan permohonan Skim Air Darul Ehsan (SADE) akan giat diperhebat Ahli Dewan Negeri (ADN) terutama ketika program anjuran Selangor.
ADN Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata kaunter pendaftaran SADE dibuka setiap kali Jualan Ehsan Rahmah (JER) selain ketika program kemasyarakatan seperti gotong royong.
“Usaha ini dilakukan bagi memudahkan penduduk mendaftar atau sebarang pertanyaan. Selepas ini kita akan cuba buka kaunter di masjid dan surau solat Jumaat yang mungkin boleh capai 200 hingga 300 orang.
[caption id="attachment_612873" align="alignleft" width="347"] ADN Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim[/caption]
“Ada daripada mereka ini yang ingat program air percuma masih automatik jadi mereka tidak tahu perlu mohon dan daftar. Bila kita buka kaunter mereka boleh semak pendaftaran dan sebagainya,” katanya.
Menurut Muhammad Izuan, dianggarkan 65 peratus daripada kira-kira 140,000 peduduk kawasan itu golongan B40, justeru hebahan mengenai SADE akan dipergiat bagi memastikan mereka yang layak terus mendapat manfaat.
Sebelum ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata warganegara yang menetap atau menyewa di Selangor dengan pendapatan isi rumah bawah RM5,000 dipelawa memohon skim air percuma 20 meter padu sebulan.
[caption id="attachment_603660" align="alignright" width="324"] Seri Serdang Abbas Azmi[/caption]
Maklumat lanjut mengenai SADE boleh didapati di pautan http://www.airselangor.com/residential/skim-air-darul-ehsan/
Sementara itu, wakil rakyat Seri Serdang Abbas Azmi berkata selain hebahan ketika JER, usaha bersama persatuan penduduk dilaksana bagi memastikan lebih ramai memohon inisiatif berkenaan.
“Platform hebahan lain termasuklah media sosial bagi memastikan penduduk yang layak memohon dan tidak terlepas manfaat ini kerana masih ramai yang menyangka mereka akan dapat secara automatik.
[caption id="attachment_657386" align="alignleft" width="346"] Ahli Dewan Negeri Kajang David Cheong[/caption]
“Dianggarkan daripada 250,000 populasi penduduk di DUN Seri Serdang, 30 peratus daripadanya adalah golongan B40 jadi mereka ini terutamanya harus kita bantu untuk buat permohonan dan pendaftaran,” katanya.
Bagi ADN Kajang David Cheong hebahan mengenai program itu akan terus dipertingkat menjelang tarikh akhir permohonan pada 31 Disember tahun ini.
“Kita akan menggunakan segala platform yang ada bagi memasikan rakyat tahu program ini dan segera buat permohonan jika mereka layak,” katanya.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini menyeru penduduk yang layak memohon SADE bagi memenuhi sasaran 600,000 akaun menikmati insiatif air percuma dengan 300,000 akaun sudah berdaftar setakat Oktober.