Di Malaysia, ramai tokoh ilmuan mendapat pendidikan dalam pelbagai aliran. Ramai juga mendapat pendidikan Universiti al-Azhar, Mesir yang dari sudut akidahnya dari aliran Asy’airah dan fikahnya meraikan kepelbagaian mazhab.
Ada pula dari kalangan mereka mendapat pendidikan aliran Deobandi yang meliputi pengajian Islam di India dan Pakistan yang dari sudut akidahnya, ditekankan aliran Maturidiyyah dan fikahnya lebih kepada Mazhab Hanafi.
Tidak sedikit juga dari aliran Salafiyyah yang pendidikan mereka dari Arab Saudi, atau sebilangan universiti di Jordan, Pakistan, Yaman dan sebagainya.
Tidak dilupakan juga, pendidikan Islam tradisi di Malaysia iaitu pendidikan pondok yang bermazhab Syafie dari sudut fikah, dan bermazhab Asy’airah dari sudut akidah.
Universiti Al-Azhar
Al-Azhar adalah universiti Islam yang ditubuhkan pada tahun 970M, universiti ketiga tertua di dunia selepas Universiti al-Zaytuna (737M) di Tunis dan al-Qarawiyyin (877M) di Maghribi. Berpusat di ibu kota Mesir, Kaherah, universiti itu ditubuhkan pada zaman pemerintahan Dinasti Fatimiyyah yang batu asasnya diletakkan Khalifah al-Mu'izz li-Din Allah al-Fatimi, khalifah kedua dinasti tersebut.
Universiti itu antara peninggalan Dinasti Fatimiyyah Syiah Ismailiyyah yang mendakwa mereka keturunan Fatimah binti Nabi Muhammad, isteri Saidina Ali. Fatimah digelar sebagai "Fatimah al-Zahra" yang dari kata “al-Zahra” menjadi kata “al-Azhar” sebagai nama institusi yang didedikasikan untuk menghormatinya.
Pada peringkat awal, para khalifah Fatimiyyah menggalakkan ulama dan fuqaha mengadakan halaqah pengajian dan perhimpunan sehingga ia berkembang menjadi madrasah. Justeru, pengajian di universiti itu meliputi sukatan pengajian dalam tradisi Syiah. Setelah penggulingan Dinasti Fatimiyyah Ismailiyyah, Salahuddin al-Ayyubi (pengasas Dinasti Ayyubiyyah Sunni) mengubah Universiti al-Azhar menjadi pusat pendidikan Sunni bagi menghapuskan Mazhab Syiah dan menghilangkan pengaruh negara Fatimiyyah.
Keunikan Universiti al-Azhar adalah, pengajian ilmu fikahnya tidak terbatas kepada satu mazhab, malah pendedahannya melebihi mazhab empat. Universiti itu turut mendedahkan mazhab-mazhab yang jarang didengari di Malaysia antaranya Mazhab al-Laisi, al-Nakhaie, al-Awzaie, al-Ja’fari dan al-Nazzam.
Malah, pelajar diberi pilihan untuk masuk kelas pengajian fikah mazhab tertentu seperti lazimnya pelajar Malaysia dan Indonesia memilih Mazhab Syafie yang belajar kitab Hasyiah Qalyubi wa al-‘Umairah. Mereka juga diberi bandingan kupasan dari Mazhab Hanbali, Hanafi dan Maliki serta mazhab lain.
Dalam pengajian kekhilafan mazhab pula, pendedahannya bukan sekadar dari sudut keputusan fikah, malah didedahkan kekhilafan kaedah dan cara pendalilan imam mazhab. Selain pengajian fikah, ulama lepasan Universiti al-Azhar lazimnya mahir tradisi ilmu usul al-Fiqh dan epistomologi imam-imam mazhab yang antara kitab utamanya Nihayah al-Sul karya al-Imam al-Isnawi yang merupakan syarah kepada Minhaj al-Wusul karya al-Imam al-Baidhawi.
[caption id="attachment_666017" align="alignnone" width="872"] Orang ramai mendengar pengajian Talaqi Kitab Ihya’ Ulumuddin dan Mawaqif Al Marjan dari Tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni di Masjid Negeri, Shah Alam pada 2 Oktober 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Deobandi
Selain Universiti al-Azhar, di Malaysia juga melahirkan beberapa tokoh ulama yang mendapat pendidikan Islam dari India terutama aliran Deobandi.
Dalam catatan sejarah, tokoh terawal memperkenal pengajian aliran itu di Malaysia adalah Sayyid Hassan bin Nur Hasan atau dikenali penduduk Kelantan sebagai Tok Khurasan. Beliau dilahirkan di Bhafar (Baffa), Pakistan, dan berhijrah ke Tanah Melayu pada 1911 ketika berusia 37 tahun dan tinggal Kampung Sireh, Kota Bharu, Kelantan.
Beliau mendapat pendidikan dari Dar al-Ulum, Deobandi bawah didikan Maulana Maulana Mahmud Hassan yang digelar masyarakat India sebagai Syaikh al-Hind (Guru ulama-ulama India). Daripada beliau, pengajian Islam aliran Deobandi dikembangkan Tuan Guru Haji Wan Musa iaitu mufti Kelantan ketiga antara 1909 hingga 1916 serta Tuan Guru Haji Nik Mat (bapa kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz) serta Tuan Guru Haji Abbas dari Besut.
Deobandi adalah nama sistem pendidikan yang berasal dari sebuah universiti Islam di Deoband, sebuah bandar kecil di daerah Saharanpur, Uttar Pradesh, India.
Dar al-Ulum, Deoband ditubuhkan pada 1867M oleh sekumpulan ulama terkemuka dari India, seperti Maulana Muhammad Qasim al-Nanotawi, Maulana Rashid Ahmad al-Kankawhi, Maulana Zulfiqar Ali al-Deobandi, dan Sheikh al-Hajj Abid Husayn.
Dalam aliran Deobandi, pengakhiran pengajiannya tertumpu kepada ilmu hadis dengan khatam pengajian enam kitab hadis utama aliran ahl al-Sunnah wa al-Jamaah iaitu al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah. Mereka yang menyelesaikan pengajian kitab itu digelar “maulana”.
Ini berbeza dengan pendidikan di Universiti al-Azhar yang mirip sistem kebanyakan universiti di dunia iaitu mengikuti sistem peperiksaan tahunan serta mencapai sarjana (master) dan doktor falsafah (PhD) melalui proses kajian dan penulisan tesis.
Dari pengajian dari Dar al-Ulum, Deoband, India, ramai pelajar keluarannya memasuki dunia pendidikan di negara masing-masing. Dengan itu, terdapat banyak universiti yang mengikut sukatan pengajian Dar al-Ulum Deoband di Pakistan, Bangladesh, Afghanistan, Afrika Selatan dan sebagainya. Mereka ini dikenali sebagai “Aliran Deobandi”.
Salafi
Terdapat beberapa tokoh ulama di Malaysia yang mendapat pendidikan dari Salafiyyah, aliran yang terpengaruh dengan pemikiran tokoh kontroversi iaitu Ibn Taimiyyah dan Muhammad bin Abdul Wahhab. Walaupun lazimnya mereka mendapat pendidikan di sekitar Arab Saudi tetapi tidak sedikit dari kalangan mereka mendapat pendidikan dari negara lain yang memiliki pemikiran sama seperti universiti di Jordan, Pakistan dan Yaman.
Dalam konteks Pakistan, walaupun universiti Salafiyyah itu menekankan pengajian hadis tetapi ia agak berbeza dari sudut penekanannya berbanding aliran Deobandi seperti berikut:
- Aliran Deobandi lebih menekankan pengajian ilmu hadis dengan mensyarahkan setiap perkataan dalam enam kitab hadis sunni sedangkan aliran Salafiyyah hanya mensyarahkan beberapa hadis terpilih sahaja.
- Aliran Deobandi lebih menekankan keperluan sanad hadis yang bersambung, sedangkan dalam aliran Salafiyyah tidak ada penekanan tersebut.
- Aliran Deobandi lebih menekankan keperluan memahami teks hadis dari kaca mata imam mazhab terutama Mazhab Hanafi sedangkan aliran Salafiyyah tidak ada penekanan tersebut.
Pengajian pondok
Di Malaysia, tradisi pengajian Islam tertua adalah pengajian pondok. Walaupun ada pihak mendakwa ia bermula dari Tok kenali (nama sebenarnya: Muhammad Yusuf bin Ahmad) yang meninggal dunia pada 1933 tetapi catatan sejarah menyebut sudah ada tokoh lebih awal lagi iaitu Tok Pulau Manis (nama sebenarnya: Abdul Malik bin Abdullah) yang meninggal dunia pada 1736 dan tinggal di Terengganu.
Tradisi pengajian ini tidak lebih sekadar penekanan membaca kitab utama dalam Mazhab Syafie serta Mazhab Asy’airah dalam ilmu akidah. Di samping itu, pelajar-pelajarnya menjadi “tok lebai” yang mendidik masyarakat apabila mereka pulang ke kampung masing-masing.