SHAH ALAM, 31 OKT: Tourism Selangor akan mengadakan Selangor Travel Fair buat julung kalinya dari 1 hingga 3 November ini di Sunway Pyramid.
Acara itu diadakan sempena Tahun Melawat Selangor 2025, yang dibawakan khas bagi mempamerkan kekayaan warisan budaya, pengalaman pelancongan dan tarikan terbaharu kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
Dengan Journify oleh Malaysia Aviation Group sebagai rakan kerjasama utama, acara itu turut menampilkan pelbagai tawaran pelancongan eksklusif bernilai lebih RM200,000.
Kerjasama itu bakal menyediakan platform untuk pelbagai tawaran pelancongan di negeri Selangor serta peluang kerjasama bersama pemain industri dan orang awam.
Dengan sokongan penuh oleh Tourism Malaysia dan MATTA, acara itu akan memberi impak besar kepada landskap pelancongan.
Sempena Selangor Travel Fair, majlis pra pelancaran Tahun Melawat Selangor 2025 akan diadakan dengan pelancaran logo dan lagu tema kempen Tahun Melawat Selangor 2025 serta persembahan daripada penyanyi Aizat Amdan.
Acara selama tiga hari itu menyasarkan menarik 20,000 pengunjung, terdiri daripada pemain industri pelancongan, pelancong serta orang awam, sejajar dengan visi Selangor untuk menarik lapan juta pelancong pada tahun hadapan.
Tourism Selangor akan mempamerkan lebih 20 produk pelancongan pada acara itu, menawarkan pelbagai tawaran pelancongan eksklusif, diskaun dan pakej pelbagai tarikan pelancongan negeri sesuai untuk semua pelancong.
Pengunjung Selangor Travel Fair juga boleh mengikuti pelbagai aktiviti seperti bengkel, persembahan tradisional serta cabutan bertuah.
Produk pelancongan yang akan menyertainya termasuk SplashMania Waterpark dan Skyline Luge oleh GL Play, Gamuda Land, Jumpstreet Asia Malaysia, Farm in the City serta Eastin Hotel.