ad
BERITA UTAMA

Ranggoli, seni rona lantai aneka motif penyeri Deepavali

31 Okt 2024, 12:08 AM
Ranggoli, seni rona lantai aneka motif penyeri Deepavali
Ranggoli, seni rona lantai aneka motif penyeri Deepavali
Ranggoli, seni rona lantai aneka motif penyeri Deepavali
Ranggoli, seni rona lantai aneka motif penyeri Deepavali

Oleh Shalini Rajamogun

Hiasan pada lantai setiap kali menjelangnya Deepavali menggamit pandangan mata. Seni dipanggil Ranggoli atau kolam itu menceriakan musim perayaan pesta cahaya disambut masyarakat beragama Hindu.

Lazimnya menjadi perhiasan semasa tahun baharu serta perayaan seperti Deepavali dan hari-hari yang dianggap istimewa seperti Selasa dan Jumaat.

Tidak ketinggalan juga semasa majlis pertunangan, perkahwinan, upacara keagamaan atau sekadar hiasan dalam majlis kebudayaan.

Bagi penduduk-penduduk di bahagian utara India, mereka menggunakan istilah Ranggoli, nama lain untuk kolam, seperti yang biasa didengar dalam filem-filem Bollywood.

Di Malaysia, lazimnya ia dipanggil kolam. Membawa maksud indah dan cantik. Tradisi seni lantai diwarisi turun-temurun masyarakat India menggunakan beras warna-warni dipercayai mampu membawa keberkatan.

Penggunaan beras sebagai bahan utama menghasilkan hiasan itu juga dianggap sebagai berkongsi rezeki bersama serangga dan burung yang berkeliaran di halaman rumah.

Penyelaras Persatuan Penganut Sri Murugan Saujana Puchong, Giawa Mariappan berkata untuk menghasilkan kolam secara tradisional, dia turut menggunakan tepung beras, hampas kelapa dan biji sagu.

Mengikut kepercayaan, kolam pada kebiasaannya dicorakkan dengan motif burung merak, pelita atau bunga yang tersirat kisah dan legenda dalam kepercayaan agama Hindu.

“Merak adalah burung pengikut dewa, pelita pula cahaya yang dipasang masyarakat Hindu bagi meraikan kemenangan dewa selepas berjaya menewaskan pengganas dan membawa cahaya baharu dalam kehidupan.

[caption id="attachment_670745" align="alignleft" width="429"] Penyelaras Persatuan Penganut Sri Murugan Saujana Puchong, Giawa Mariappan ditemui Selangorkini pada 26 Oktober 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Kebiasaannya kolam akan dibuat di halaman atau di pintu masuk rumah bagi memudahkan burung atau serangga untuk datang makan. Kalau dihias di depan rumah ia akan menjadi penyeri dan membawa keberkatan untuk tetamu serta dewa yang datang,” katanya kepada Selangorkini pada 26 Oktober.

Ia juga dibuat sebelum matahari terbit yang membawa maksud tanda selamat dan rahmat supaya setiap isi rumah yang menyambut Deepavali dikurniakan kesejahteraan.

Kata Giawa, melukis kolam pada waktu subuh juga memberi ketenangan pemikiran. Malah menjadi senaman baik dalam kalangan wanita kerana memerlukan pelbagai gerakan dan kedudukan posisi anggota badan.

“Misalnya, duduk bersila, berlutut, membongkok, meregangkan badan dan menggerakkan tangan dari kiri ke kanan, depan ke belakang atau sebaliknya. Pergerakan seperti itu pada waktu subuh menyumbang kepada kecergasan tubuh badan.

[caption id="attachment_670746" align="aligncenter" width="953"] Antara hiasan lantai atau kolam yang menggunakan beras warna-warni dipercayai mampu membawa keberkatan. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Aktiviti ini juga melegakan tekanan diri, meningkatkan pemikiran kreatif dan kemampuan penyelesaian masalah serta meningkatkan tenaga positif,” tambahnya.

Namun, dia kecewa kerana seni warisan itu semakin dilupakan kerana kemajuan teknologi, selain perubahan besar dalam corak dan gaya hidup masyarakat kini.

“Kesimpulannya, cabaran besar sentiasa ada bagi setiap warisan budaya jika ia tidak diwariskan secara terancang,” katanya.

[caption id="attachment_670748" align="aligncenter" width="1192"] Antara hiasan lantai atau kolam yang menggunakan beras warna-warni dipercayai mampu membawa keberkatan. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.