SHAH ALAM, 30 OKT: Program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS) Digital akan menjelajah ke tiga daerah sepanjang November ini.
Menurut Platform Selangor (PLATS), program dijadual berlangsung di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Sungai Besar, Sabak Bernam pada 12 November.
Lokasi lain Dewan Ilmu, Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya pada 19 November dan Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Puncak Alam (26 November).
“Jelajah siri dua itu merangkumi modul satu U-PLATS Digital yang memfokuskan kepada asas keusahawanan sebelum peserta terpilih layak ke modul edisi ‘bootcamp’ seterusnya.
“Jadi jangan lupa tandakan kalendar dan pastikan anda hadir ke lokasi program yang dinyatakan,” katanya di Facebook.
Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata U-PLATS adalah inisiatif baharu bagi membantu usahawan menguruskan perniagaan secara digital.
Saipolyazan M Yusop berkata menerusinya usahawan bakal menerima manfaat daripada program anjuran agensi itu yang diselia oleh 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).