ad
BERITA UTAMA

Mencari punca gegaran, dari andaian meteor hingga latihan tentera

30 Okt 2024, 4:00 AM
Mencari punca gegaran, dari andaian meteor hingga latihan tentera
Mencari punca gegaran, dari andaian meteor hingga latihan tentera

Gegaran kuat berserta bunyi dentuman kira-kira jam 11 pagi di beberapa lokasi pada 21 Oktober mengejutkan warga bandar raya Ipoh, Perak.

Kejadian yang dirasai penduduk sekitar Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi, Chemor dan Sungai Siput mendapat perhatian ramai.

Sehingga kini, misteri itu belum terungkai. Bukan berpunca latihan pasukan keselamatan mahupun aktiviti kuari. Bukan juga bunyi sonik pesawat pejuang. Polis dan tentera telah mengesahkannya.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula, daerah itu tidak terkesan dengan aktiviti seismik walaupun ada gempa bumi di Halmahera, Indonesia.

Justeru, polis mengadakan mesyuarat khas bersama 20 agensi sektor awam dan swasta pada 29 Oktober bagi mengesan punca kejadian.

Namun, Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris menasihati orang ramai supaya tidak khuatir kerana keselamatan mereka terjamin.

Sebenarnya, kejadian sedemikian bukan pertama kali berlaku di Ipoh. Situasi sama pernah terjadi sekitar jam 11.15 pagi pada 7 Jun 2012.

Kira-kira 400 kakitangan Politeknik Ungku Omar gempar apabila merasai gegaran kira-kira tiga minit. Kejadian berkenaan menyebabkan pintu dan tingkap bergegar.

Jangkaan awal pada masa itu mengesyaki gegaran tersebut berpunca akibat letupan di kuari atau latihan tentera di kawasan berhampiran. Namun, tiada latihan atau letupan kuari dilakukan.

Peristiwa hampir sama berlaku di Ipoh pada 4 Oktober 2018, penduduk terdengar bunyi kuat di kebanyakan bahagian bandar.

Bisingnya seperti bunyi letupan didengari pada jam 11.20 pagi. Bunyi itu turut menggemparkan penduduk Tambun, Ipoh Garden, Old Town dan Station 18. Gegaran turut mereka rasai.

Sama seperti kejadian pada 2012, MetMalaysia menolak andaian ada gempa bumi, polis dan tentera pula menyatakan tiada latihan ketenteraan diadakan di kawasan berhampiran.

Selain Ipoh, gegaran dirasai penduduk lebih 20 kampung sekitar Empangan Tasik Kenyir, Terengganu pada lapan tahun lalu.

“Mereka juga bagitahu gegaran berlaku dua kali iaitu sekitar 9.20 malam dan 11.10 malam,” kata wakil rakyat Telemong Rozi Mamat pada 24 Februari 2016 yang dihubungi ramai penduduk.

Misteri itu terjawab apabila MetMalaysia mengesahkan ada gempa bumi lemah 2.7 magnitud dikesan di Tasik Kenyir. Pusat gempa itu terletak lima darjah Utara dan 102.9 darjah Timur, sekitar 16 kilometer Barat Daya dari Kuala Berang.

Selain itu, gegaran dan dentuman kira-kira 10 saat berlaku pada 31 Januari 2021 di beberapa lokasi di Sabah termasuk Sipitang, Beaufort dan Labuan serta Brunei. Banyak rumah bergegar akibat peristiwa itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menafikan insiden itu akibat kerja melupus bom perang dunia kedua yang ditemui di sebuah kampung di Labuan.

Ia sebenarnya diletupkan sehari sebelumnya. Justeru, punca kejadian kekal misteri.

Petronas turut menafikan kejadian berkenaan berpunca akibat operasi syarikat itu. MetMalaysia juga tidak mengeluarkan amaran gempa bumi di kawasan tersebut.

Namun sebelum itu, pada 20 Ogos 2018, penduduk Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran di Sabah turut dikejutkan dengan letupan kuat disusuli gegaran kuat.

MetMalaysia ketika itu mengesyaki letupan berkenaan akibat hentaman tahi bintang atau meteor. Namun, mereka tidak dapat memastikan lokasi kejadian kerana ia di luar bidang kuasa mereka.

“Kalau adapun (meteor) susah untuk dikesan,” kata pengarahnya pada masa itu Azemi Daud.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.