ad
AGENDA

APM buat rondaan bermotosikal, pantau ribuan kawasan berisiko banjir

29 Okt 2024, 10:32 AM
APM buat rondaan bermotosikal, pantau ribuan kawasan berisiko banjir

KUALA TERENGGANU, 29 OKT: Penugasan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerusi Op Ramah akan ditumpukan pada 5,648 kawasan berisiko banjir yang dikenal pasti di seluruh negara.

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed berkata seramai 15,000 pegawai dan anggota termasuk petugas sukarela kini bersedia untuk dikerah sekiranya bencana itu melanda dengan tiba-tiba.

Beliau berkata pasukan Op Ramah yang melakukan rondaan bermotosikal akan ke lokasi termasuk kawasan perkelahan dan rekreasi untuk memberi peringatan serta nasihat supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini.

"Walaupun belum ada tanda-tanda banjir, APM tidak boleh rehat dan sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga.

"Penugasan Op Ramah kali ini akan ditumpu kepada kawasan berisiko dijangkakan oleh agensi-agensi teknikal. Sebab kita juga berpandukan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Apresiasi Penyerahan Watikah Pegawai Kehormat/Bersekutu dan Penganugerahan Pingat, Reben Perkhidmatan dan Sijil APM Negeri Terengganu 2024 di sini hari ini.

Turur hadir Pengarah APM Terengganu Mohd Zul Khairi Shamsuddin.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.