Gegaran di Ipoh, Perak pada 21 Oktober lalu menimbulkan kebimbangan dan tanda tanya ramai pihak. Banyak spekulasi, ada yang berspekulasi bunyi daripada jet pejuang.
Ada juga katanya datang daripada hentaman hujan meteor Orion.
Hentaman meteor yang berimpak kuat bukan sahaja menghasilkan dentuman bunyi yang kuat, malah dapat mengundang bencana dan kemusnahan pada penduduk.
Walaupun hujan meteor kerap terjadi, lazimnya meteor ini tidak jatuh hingga ke permukaan Bumi. Ia terus terbakar dan lenyap sebaik sahaja masuk ke permukaan Bumi kerana lazim saiznya agak kecil.
Agensi Angkasa Malaysia mengesahkan bunyi tersebut tidak berpunca dari hujan meteor melainkan kita menemui impak meteor tersebut.
Tambah lagi, agensi itu menyatakan mereka sentiasa mengawasi ruang angkasa bagi memastikan meteor berimpak dapat dikesan lebih awal.
Terdapat ahli geologi berpandangan, jika dentuman bunyi tersebut berpunca daripada sudut geologi, ia mungkin disebabkan oleh runtuhan batuan tebing bukit batu kapur, runtuhan dalam gua batu kapur ataupun pergeseran batu kapur.
Kejadian-kejadian boleh mengakibatkan bunyi dentuman yang kuat.
Faktor geologi ini mengingatkan kembali kejadian yang pernah berlaku di Ipoh juga pada tahun 1973. Bunyi dentuman yang sangat kuat ketika itu meragut 40 nyawa. Ia berpunca daripada runtuhan batu Gunung Cheroh.
Hanya 12 mayat sahaja berjaya ditemui. Selebihnya tidak dijumpai. Ini mungkin antara sebab mengapa bunyi dentuman pada minggu lalu menimbulkan kebimbangan penduduk.
Hancur gegendang telinga
Kejadian bunyi dentuman kuat ini mengingatkan saya bunyi yang sangat kuat pernah dikesan di dalam laut pada tahun 1997. Asal-usul bunyi itu pun misteri juga, tidak diketahui puncanya.
Tapi disebabkan pada ketika itu manusia baru sahaja meneroka lautan sebanyak lima peratus (sekarang dah 30 peratus), ada teori yang keluar bunyi itu dihasilkan oleh makhluk gergasi yang sangat besar.
Mungkin ramai yang tidak tahu, paus (paus biru terutamanya) berupaya menghasilkan bunyi yang kuat, dapat mencecah sehingga 188 decibel.
Kekuatan bunyi ini sebenarnya berupaya menghancurkan gegendang telinga kita. Malah, bunyi sekuat ini boleh bergerak lebih 1,000 kilometer.
Kita tidak dapat mendengarnya kerana bunyinya berfrekuensi rendah. Saintis menggunakan hidrofon untuk rekod bunyi ini.
Satu lagi bunyi kuat yang dikesan oleh National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) pada tahun 1997 itu dapat didengari sehingga 5,000 kilometer.
Sangat jauh dan bermakna sangat kuat. Bunyi yang lebih kuat dari yang dihasilkan oleh paus biru dan mana-mana haiwan pun.
Justeru, ada teori keluar bunyi ini dihasilkan oleh makhluk gergasi yang saiznya lima hingga enam kali ganda lebih besar dari paus baru.
Untuk pengetahuan anda semua, paus biru merupakan haiwan terbesar yang pernah wujud di muka Bumi, berganda lebih besar dari dinosaur.
Sama ada makhluk gergasi ini menghasilkan bunyi ataupun mungkin haiwan kecil sahaja yang menghasilkan bunyi ini tetapi ia mempunyai kotak suara yang padu.
Pada ketika itu idea ini tidak mustahil kerana manusia masih belum meneroka banyak kawasan lautan.
Haiwan ini dinamakan “Bloop” kerana bunyi yang dihasilkan itu berbunyi “bloop”. Misteri dentuman bunyi dasar laut ini selesai pada tahun 2005 apabila NOAA dapat mengenal pasti bunyi tersebut datang daripada runtuhan bongkah ais di dasar laut.
Faktor geologi mungkin faktor yang kuat berkenaan bunyi dentuman yang melanda di Ipoh.
Apa-apa pun, siasatan masih sedang dijalankan untuk mengenal pasti asal-usul bunyi tersebut. Pihak polis telah mengumpulkan 20 agensi untuk merungkai misteri kejadian ini.