ad
AGENDA

Kerajaan tumpu negara pasaran baharu, elak perang perdagangan negara kuasa ekonomi

29 Okt 2024, 7:06 AM
Kerajaan tumpu negara pasaran baharu, elak perang perdagangan negara kuasa ekonomi

SHAH ALAM, 29 OKT: Kerajaan berhasrat memberi tumpuan kepada negara pasaran baharu bagi memastikan negara tidak tersepit dalam peperangan perdagangan antara negara kuasa ekonomi.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan yang berpegang pada dasar ‘tidak bersekutu’ dengan mana-mana negara kuasa ekonomi.

“Kerajaan akan memberi perhatian kepada negara pasaran baharu seperti Oman, Kenya, Mesir, Angola, Namibia, Algeria dan Libya yang mencatatkan peningkatan eksport yang ketara bagi tempoh Januari hingga September 2024 hasil daripada strategi pempelbagaian eksport.

“Kerajaan terus berusaha untuk mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dan diplomasi perdagangan dengan semua negara menerusi Misi Galakan Pelaburan dan Perdagangan serta program perniagaan sempena lawatan rasmi perdana menteri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (HARAPAN-Gombak) berhubung langkah kerajaan bagi menjamin kelangsungan syarikat dan industri berkepentingan utama supaya tidak menjadi mangsa perang perdagangan.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan terus memberi galakan kepada industri tempatan untuk menggunakan sumber domestik selain memberi keutamaan hasil dari rantau Asean.

Menurutnya, kerajaan juga bercadang memuktamadkan beberapa rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) baharu serta menaik taraf perjanjian sedia ada bagi membuka pasaran eksport Malaysia yang lebih stabil dan kompetitif.

“Antara FTA itu adalah seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-Emiriah Arab Bersatu, Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada; dan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Korea.

“Selain itu, kerajaan mahu menaik taraf perjanjian sedia ada seperti Rundingan Naik Taraf Perjanjian Perdagangan Barangan Asean-China dan Perjanjian Perdagangan Barangan Asean-India,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.