SHAH ALAM, 29 OKT: Cadangan cukai dividen yang diumum pada Belanjawan 2025 tidak membebankan dan hanya membabitkan pemilikan saham berjumlah dua juta atau bersamaan dengan nilai RM100,000.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cukai itu ditetapkan dua peratus berbanding cadangan lima peratus sebelum ini, selepas mengambil kira rayuan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Sebenarnya kerajaan mahu tetapkan lima peratus, tetapi mengambil kira rayuan PMKS, jadi kita tetapkan hanya dua peratus sahaja.
“Cukai dividen ini dikenakan kepada pemilik dua juta saham iaitu bersamaan RM100,000. Mereka hanya perlu bayar cukai dividen sebanyak RM700 hingga RM800 setahun, bayar sahajalah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar (HARAPAN-Tambun) menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (HARAPAN-Kota Melaka) yang berharap kerajaan dapat menilai semula pelaksanaan cukai dividen, khususnya kepada PMKS.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan pelaksanaan cukai dividen telah dipertimbang secara adil dan baik selain hanya dilaksana kepada pihak yang berkemampuan.
“Itu saham sahaja, mustahil orang itu ada keupayaan hanya beli saham, sebab itu dalam pertimbangan kita dalam menetapkan keputusan ini adalah supaya mengenakan sedikit bayaran kepada orang yang ada keupayaan," katanya.
Menerusi Belanjawan 2025, kerajaan memperkenalkan cukai dividen pada kadar dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima oleh pemegang saham individu.