KUALA LANGAT, 29 OKT: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) sentiasa mengutamakan kebajikan penduduk khususnya golongan kurang berkemampuan.
Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhammad berkata selaku badan bukan kerajaan, aspek kebajikan merupakan tonggak utama dalam memperjuangkan hak rakyat.
Menurut beliau, Pekawanis memahami cabaran hidup masa kini terutama golongan yang berada di paras kemiskinan, mengalami masalah kesihatan dan sumber pendapatan.
"Oleh itu, antara inisiatif diambil dengan laksana program Ziarah Kasih dengan menyediakan pelbagai bantuan termasuk bakul makanan.
"Kami ingin memastikan bahawa bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan tanpa mengira latar belakang dan agama," katanya pada program Ziarah Kasih Pekawanis 2.0 anjung selatan Selangor.
[caption id="attachment_670514" align="alignnone" width="847"] DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad menyaksikan persembahan pada Program Ziarah Kasih Pekawanis 2.0 Bersama DYMM Permaisuri Selangor ke Anjung Selatan Selangor 2024 di Homestay Anjung Damai, Kampung Sungai Lang Tengah pada 28 Oktober 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Semalam, Masdiana ketika sembah ucapan kepada Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin pada kunjungan ke Kuil Fo Guang Shan Dong Zen memaklumkan Pekawanis memperuntuk RM196,100 untuk bantuan sempena sambutan Deepavali.
Katanya, dana itu diagihkan kepada 53 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen serta memanfaatkan 1,060 masyarakat India negeri ini.
[caption id="attachment_670515" align="alignnone" width="920"] DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad melawat Galeri Rumah Antik di Teratak Shah Bonda, kediaman EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah pada Program Ziarah Kasih Pekawanis 2.0 Bersama DYMM Permaisuri Selangor ke Anjung Selatan Selangor 2024 pada 28 Oktober 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Menerusi program dua hari, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan memulakan lawatan dengan mengunjungi Gamuda Cove.
Baginda kemudian meluangkan masa hampir satu jam ke taman rekreasi Paya Indah Discovery Wetlands seluas 1,111 ekar bagi melihat keindahan alam sekitar selain dibawa melawat Hentian Tasik Sendayan serta Rumah Melayu seterusnya ke Taman Tema Air SplashMania dan Menara Berpusing Cove Aerobar.
Tengku Permaisuri Selangor turut berkenan ke Hong Long Dragon Fruit Eco Farm, melawat menara buah naga terbesar di dunia dan menyaksikan pembuatan roti buah naga.
Sebelum ini, program Ziarah Kasih anjuran Pekawanis bermula di anjung utara Selangor dan julung kali Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan bertemu rakyat.