SHAH ALAM, 29 OKT: Kajian bagi takrifan golongan T15 masih berjalan berikutan pendapatan isi rumah berjumlah RM13,000 disifatkan masih rendah di negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan berpandangan jumlah yang ditetapkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tidak munasabah dan perbincangan lanjut sedang dibuat bagi menaikkan kuantum T15.
“Dalam penyasaran subsidi diesel digunakan prinsip yang sama T15. Apa kuantumnya? itu sedang dikaji, kerana kita rasa yang ditekankan oleh DOSM iaitu sekitar RM13,000 mungkin terlalu rendah.
“Maka, rencana sekarang yang dibincangkan oleh jabatan berkaitan Kementerian Kewangan dan kementerian lain ialah untuk menaikkan sedikit, supaya tidak membebankan. Jadi pendapatan sesi keluarga itu tidak terikat dengan yang ada sekarang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar (HARAPAN-Tambun) berkata demikian menjawab soalan Khoo Poay Tiong (HARAPAN-Kota Melaka) mengenai definisi T15 dalam subsidi bersasar bagi petrol RON95 seperti yang diumum dalam Belanjawan 2025.
Sementara itu, beliau turut menegur pihak yang dilihat cuba menjadi 'jaguh T15' dan mempertahankan golongan tersebut dalam pelaksanaan dasar pelarasan subsidi minyak RON95.
Menurutnya, tumpuan sepatutnya diberikan kepada golongan bawahan iaitu 85 peratus lagi rakyat yang sebenarnya tidak terjejas dalam pelarasan yang akan dilaksana pertengahan tahun depan.
“Yang penting diketahui di sini pelarasan subsidi RON95 itu tidak membebankan 85 peratus rakyat, jadi sepatutnya kita janganlah jadi jaguh T15 seperti disuarakan pembangkang,” katanya.
Menerusi Belanjawan 2025, Kerajaan bercadang melaksana penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025, dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM12 bilion kepada 85 peratus rakyat Malaysia.