SHAH ALAM, 29 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Petaling menjalankan aktiviti pemusnahan jentik-jentik bagi mengawal kes denggi.
Datuk bandarnya berkata satu lokaliti titik panas dikenal pasti iaitu Apartmen Seri Mutiara, Putra Height manakala dua lokaliti wabak tidak terkawal
pula di Taman Bukit Serdang 9 dan Batu 3 Jalan Intan, Jalan Zamrud, Jalan Belian dan Jalan Permata.
“MBSJ bersama-sama PKD Petaling turut membuat pemeriksaan tempat pembiakan dan membuat kerja penyemburan di kawasan terlibat.
“Penduduk diingatkan untuk segera mendapatkan rawatan jika mempunyai simptom-simptom demam denggi di fasiliti kesihatan,” kata Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim pada mesyuarat penuh baru-baru ini.
Beliau juga memaklumkan sebanyak 6,927 kes demam denggi di Subang Jaya pada Minggu Epidemiologi ke-41.
“Sebagai langkah pencegahan penduduk dimohon untuk menjalankan pemeriksaan kendiri kawasan persekitaran dan memusnahkan tempat-tempat takungan air yang boleh menjadi potensi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” ujarnya.