KUALA LUMPUR, 28 OKT: Seorang lelaki warga Nepal yang cuba menculik kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Rawang Selasa lalu dipercayai berbuat demikian kerana terlalu merindui anaknya.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata siasatan mendapati susek berusia 38 tahun itu mempunyai dua anak yang lebih kurang sebaya dengan mangsa.
“Oleh kerana rindu, dia mula berkelakuan sedikit tidak siuman. Kali terakhir dia balik ke Nepal untuk berjumpa anak dan isterinya ialah pada Aidilfitri 2023.
“Suspek dirujuk ke bahagian psikiatri Hospital Sungai Buloh dan polis sedang menunggu keputusan. Polis sedang menyemak dengan Jabatan Imigresen berkenaan pas keluar masuk dan pas lawatan kerja sementara suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak lelaki berkenaan nyaris dilarikan dari sebuah rumah di Kampung Bunga Raya selepas suspek memperkenalkan diri sebagai tukang cuci (cleaner) sebelum tiba-tiba masuk ke ruang tamu rumah kira-kira 12.40 tengah hari.
Lelaki itu bagaimanapun lari tanpa sempat mengambil kanak-kanak berkenaan selepas ibu mangsa menjerit meminta pertolongan sebelum dia diberkas penduduk sekitar dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
- BERNAMA