SHAH ALAM, 28 OKT: Kerajaan Negeri menyeru semua ketua jabatan atau agensi mewujudkan persekitaran kerja sihat dan mencipta suasana yang menyokong ke arah kesejahteraan mental.
Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Haris Kasim berkata seramai 986 pegawai dalam pentadbiran Selangor mempunyai kesihatan psikologi berisiko tinggi, hasil tinjauan menerusi sistem perkhidmatan awam.
“Melalui Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Perkhidmatan Awam (MyPsyD) pada Jun yang lalu, seramai 986 pegawai di pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri berada pada tahap kesihatan psikologi berisiko tinggi.
[caption id="attachment_670381" align="aligncenter" width="625"] Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Setia Haris Kasim merasmikan Hari Psikologi dan Hari Terbuka Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Selangor (AKRAB) Perkhidmatan SUK Selangor sambil diperhatikan oleh EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin (dua, kanan) di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 28 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Mereka yang berada dalam kategori berisiko tinggi hendaklah mendapatkan bantuan profesional dan ketua jabatan perlu memberi sokongan serta bantuan yang sepatutnya kepada mereka,” katanya berucap.
Terdahulu beliau menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Psikologi dan Hari Terbuka Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Peringkat Setiausaha Kerajaan Selangor 2024, hari ini.
Dengan tema 'Utamakan Kesihatan Mental di Tempat Kerja', program yang diadakan di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri di sini, turut dihadiri EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin.
Dalam majlis sama, Haris turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkaitan kerjasama dalam penyampaian perkhidmatan psikiatri, psikologi dan kaunseling.
Kerajaan Negeri diwakili Setiausaha Bahagian Sumber Manusia AKRAB, Nur Iskandar Nur Dzainuddin manakala Pengarah Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam, Prof Dr Mohd Zamrin Dimon mewakili UiTM.