ad
AGENDA

Kondominium jadi stor dadah, 145 kilogram syabu, heroin dirampas

28 Okt 2024, 7:58 AM
Kondominium jadi stor dadah, 145 kilogram syabu, heroin dirampas

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Kegiatan pengedaran dadah jenis syabu dan heroin di sekitar Lembah Klang terbongkar selepas penahanan dua lelaki bersama 145 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM4.18 juta di sebuah unit kondominium di Bandar Baru Seri Petaling Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata suspek berusia 25 dan 21 tahun itu dipercayai penjaga unit kondominium berkenaan yang dijadikan stor penyimpanan dadah sejak disewa enam bulan lalu.

“Kedua-dua suspek ditahan di hadapan lif kondominium dalam serbuan 3.30 petang dan pemeriksaan ke atas mereka menemukan bungkusan warna keemasan bertulis ‘daguanyin’ disyaki berisi syabu dan plastik lutsinar disyaki heroin.

“Pasukan serbuan kemudian membuat pemeriksaan ke sebuah unit kondominium berkenaan dan menjumpai 115 bungkusan warna biru dan keemasan disyaki mengandungi syabu dan 40 bungkusan plastik lutsinar disyaki berisi heroin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Kok Chin berkata jumlah anggaran berat dadah yang dirampas masing-masing 124kg syabu dan 21kg heroin yang boleh digunakan 728,000 penagih dadah.

“Suspek pertama berusia 25 tahun dipercayai memperoleh upah RM5,000 sebulan sebagai penjaga stor manakala suspek kedua yang juga pembantu menerima upah harian daripada suspek pertama.

"Pasukan serbuan turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi yang disewa suspek bagi tujuan penghantaran dadah kepada pembeli," katanya.

Menurut Kok Chin, modus operandi sindiket berkenaan ialah menyewa unit kondominium sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan kepada pembeli.

“Semakan mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah, serta didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula Khamis lalu hingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis sedang mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.