ad
AGENDA

Deepavali: Keluarga penghuni penjara dibenar melawat pada 2, 3 November

28 Okt 2024, 6:40 AM
Deepavali: Keluarga penghuni penjara dibenar melawat pada 2, 3 November

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Keluarga penghuni penjara termasuk Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney dibenar membuat lawatan sempena sambutan Deepavali pada 2 dan 3 November ini.

Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan perjumpaan secara bersemuka itu dibenarkan bermula pada 8.15 pagi hingga 4.15 petang dan pelawat diminta membawa kad lawatan bersama dengan kad pengenalan bagi memudahkan urusan.

Pelawat tidak dibenarkan membawa makanan serta minuman untuk diberikan kepada penghuni, sebaliknya ia boleh dibeli dari kantin penjara dan keutamaan lawatan pada hari berkenaan diberi kepada penghuni yang beragama Hindu.

“Pelawat tidak digalakkan memberi wang kepada penghuni, memandangkan semua kemudahan asas telah disediakan oleh Jabatan Penjara Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Sekiranya pelawat ingin memberi wang kepada penghuni atas urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan lain-lain, resit rasmi PPT28 sebagai akuan penerimaan perlu diperolehi.

“Pelawat juga tertakluk kepada Akta dan Peraturan Penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal untuk masuk dan keluar dari penjara,” menurut kenyataan itu.

Bagi keluarga yang tidak dapat hadir ke penjara untuk perjumpaan bersemuka, perjumpaan secara dalam talian boleh dilakukan bermula dari 4 hingga 6 November.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.