ad
AGENDA

60 projek bangunkan permainan digital lulus, lebih 700 peluang kerja wujud

28 Okt 2024, 4:43 AM
60 projek bangunkan permainan digital lulus, lebih 700 peluang kerja wujud
60 projek bangunkan permainan digital lulus, lebih 700 peluang kerja wujud

SHAH ALAM, 28 OKT: Sejumlah 60 projek pembangunan permainan digital melibatkan dana keseluruhan RM36.7 juta diluluskan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) setakat ini, kata menteri digital.

Gobind Singh Deo berkata kelulusan projek pembangunan permainan digital meliputi platform komputer, konsol dan mudah alih itu berjaya mewujudkan lebih 700 peluang pekerjaan.

“Sejak 2014 hingga kini MDEC menerima peruntukan Dana Kandungan Digital RM163 juta bagi menjalankan dan menyelia bantuan kewangan kepada industri animasi, permainan digital, komik digital dan juga kandungan teknologi kreatif,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berhubung jumlah dana diterima syarikat permainan digital tempatan yang telah menerima dana daripada MDEC sejak 2014 sehingga kini.

[caption id="attachment_662704" align="alignleft" width="500"] Menteri Digital Gobind Singh Deo ketika sidang media selepas majlis pelancaran Twin Accelerator Programme 2024 di Auditorium Khazanah, Asia School of Business (ASB) Academic, Kuala Lumpur pada 10 September 2024. Foto HARUN TAJUDIN /MEDIA SELANGOR[/caption]

Mengulas lanjut katanya industri permainan digital Malaysia mencatat hasil jualan dan eksport RM45 juta melalui dana disediakan oleh kerajaan.

“Ini sekali gus membuktikan industri permainan digital di Malaysia memiliki potensi besar untuk dimajukan melalui sokongan kerajaan dalam akses pasaran, inkubator, persidangan, bengkel, program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula.

“Bagi meningkatkan promosi dan pemasaran permainan digital tempatan, MDEC juga menyediakan platform dan peluang bagi syarikat untuk meneroka akses pasaran.

“Antara permainan digital yang sering disertai termasuk Games Developer Conference di Amerika Syarikat, Tokyo Game Show di Jepun, China Joy di China dan Gamescom di Eropah,” katanya.

Katanya syarikat permainan digital juga berpeluang mempromosi produk mereka serta menjalin hubungan perniagaan dengan penerbit dan pengedar permainan digital di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Animasi juga merupakan salah satu komponen penting dalam produksi permainan digital dan Kucingko Berhad adalah syarikat produksi animasi tempatan, pertama yang disenaraikan di Bursa Malaysia Julai lalu,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.