Sepanjang riwayat hidup manusia, falsafah telah mempengaruhi pelbagai cabang ilmu lain seperti sains, matematik, politik dan agama. Tetapi, apa itu falsafah? Siapakah Socrates, Plato dan Aristotle dari Yunani purba yang menjadi tokoh-tokoh utama perkembangan falsafah dunia?
Menyedari hakikat itu, Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menggali karya agung dari pelbagai belahan dunia. Diterjemah sejak 2007, 13 buku falsafah diterjemah agensi itu, majoritinya karya Imam Al-Ghazali dan Voltaire. Keilmuan Al-Ghazali mencerap falsafah lama agar selari dengan agama Islam, karya Voltaire mementingkan kebebasan berfikir dan hak sivil.
Terbaharu, The Story of Philosophy diterjemah. Cetera Falsafah, buku pengenalan bergambar paling lengkap dan komprehensif untuk memahami sejarah falsafah Barat. Merentasi lebih daripada 2,500 tahun pemikiran falsafah, dari zaman Yunani Kuno hingga ke pemikir terbesar abad ini.
Hampir setahun menterjemah, Dr Khairul Anam berdepan cabaran menghasilkan terjemahan karya dalam bidang yang sering dianggap membebankan. Namun jelasnya tugas penting filsuf bukan setakat menterjemah tetapi mencipta istilah falsafah yang asli dalam bahasa ibundanya.
Wartawan NADIAH ZAMLUS berkongsi pengalaman Khairul Anam menterjemah buku tulisan Bryan Magee menerusi temu bual pada 21 Oktober. Terjemahan diterbit IBDE dengan kerjasama Media Selangor. Ia sebahagian projek Siri Pencerahan Selangor.
[caption id="attachment_670325" align="alignright" width="305"] Dr Khairul Anam[/caption]
Boleh Dr jelaskan latar belakang pendidikan Dr dan berapa banyak buku diterjemah?
Saya mendapat latihan akademik dalam bidang falsafah, terutama dalam mazhab Falsafah Penelitian (Analytic Philosophy) yang berpengaruh dalam dunia berbahasa Inggeris, sehingga ke peringkat PhD dengan kajian yang memberi tumpuan pada masalah pengetahuan ilmiah dan takrif pengetahuan dalam cabang epistemologi atau teori pengetahuan.
Namun ini hanyalah persoalan falsafah yang menjadi tumpuan dalam kajian akademik, sedangkan perhatian atau minat peribadi saya bukan hanya setakat itu. Kerana pertanyaan yang mengganggu fikiran saya kerap membabitkan keinginan memahami tentang seluruh hakikat dan segala isinya.
Sejak kebelakangan ini, misalnya, fikiran saya kadangkala terganggu dengan persoalan remeh tentang ketidakmunasabahan dan kemustahilan kewujudan hantu dalam dunia jasmani menurut pandangan dunia falsafah. Sehingga kini saya telah menterjemah lebih daripada 10 buah buku.
Kenapa memilih buku ini untuk diterjemah?
Sungguhpun bertujuan memberi pengenalan ringkas dan pemahaman umum kepada pembaca namun karya pengantar falsafah selalunya tidak mudah didekati. Justeru sebab sifat persoalan falsafah yang menuntut sejenis fikiran yang berkecenderungan kepada penelitian dan penggalian yang mendalam lagi rumit tentang perkara bersifat akliah dan meliputi segalanya.
The Story of Philosophy (Cetera Falsafah) menjadi pilihan kerana buku ini kekecualian yang sangat jarang berlaku dalam karya pengantar falsafah. Pengarang buku ini seorang filsuf yang berkecimpung dalam dunia penyiaran. Justeru, berlainan daripada karya filsuf profesional lain, buku ini menampilkan kehandalan pengarang memberi kupasan yang sangat mudah difahami dan menarik tentang sejarah panjang usaha akliah manusia untuk memahami alam, kewujudan, dan manusia serta kehidupannya.
Buku ini turut memberi gambaran dan pemahaman mudah kepada khalayak pembaca umum tentang kelahiran apa yang digelar dunia moden dengan segala sistem ilmu, pemikiran, kemasyarakatan, dan politiknya.
Pada hemat saya, buku ini boleh dijadikan umpan bagi memikat pembaca bahasa Melayu yang ingin memahami dunia moden yang kita hidupi waktu ini; dan mereka yang baru hendak berjinak dengan pertanyaan falsafah, melihat sekilas jawapan yang pernah dikemukakan oleh filsuf terdahulu sejak zaman kuno, dan seterusnya, jikalau memiliki daya fikiran yang selayaknya dan kecekalan akliah, berusaha mencari jawab kepada segala pertanyaan mendasar dalam kewujudan dan kehidupan manusia—baik untuk manfaat peribadi mahupun masyarakat sekeliling.
Namun, apa yang paling penting, buku ini ditujukan buat mereka yang berkecenderungan meneroka pertanyaan mendasar dan mencari jawab dalam bahasa ibunda. Kerana saya percaya, pertanyaan dan jawapan yang asli selalu digarap dalam bahasa ibunda.
Bagaimana proses awal menterjemah buku ini?
Dalam pengalaman peribadi mahupun akademik sepanjang meneroka dunia falsafah saya tidak pernah bermula dengan membaca karya pengantar. Saya lebih kerap diganggu oleh pertanyaan dan masalah lalu berusaha mencari jawapan. Pembacaan saya lebih kepada karya yang membincangkan sesuatu masalah falsafah secara khusus bagi mempelajari tentang pendekatan, kaedah, dan jawapan yang ditampilkan oleh filsuf terkemuka lain serta meneroka kedalaman dan kejauhan cakupan semua pertanyaan tersebut.
Maka proses yang harus saya lalui sebelum memulakan penterjemahan buku ini, tidak dapat tidak, membacanya terlebih dahulu. Ini bertujuan untuk mengenali tujuan dan niat penulis, pendekatan penulis, isi kandungan, khalayak pembaca yang dibayangkan oleh penulis, dan gaya prosa bahasanya.
Apakah cabaran menterjemah karya sama ada dari segi bahasa dan lain?
Memandangkan buku ini bersifat pengantar, saya tidak menghadapi banyak cabaran sewaktu mengerjakan terjemahannya melainkan memastikan prosa bahasa Melayu yang jelas, mudah tetapi tetap bergaya.
The Story of Philosophy dikarang dengan kejelasan gaya prosa dan kerapian hujah yang menjadi ciri falsafah penelitian. Pembaca yang peka mungkin akan perasan bahawa pada banyak tempat Cetera Falsafah menceritakan riwayat falsafah dalam bentuk penghujahan mantik—dengan gabungan beberapa dalil (premises) dan disusuli kesimpulan.
Justeru terjemahan maknawi kepada karya falsafah penelitian akan cenderung menghasilkan karya (terjemahan) bahasa Melayu yang membosankan.
Maka cabarannya, bagaimana menghasilkan terjemahan kepada karya dalam bidang yang sering dianggap membebankan bagi ramai orang tetapi tetap menarik perhatian?
Seterusnya saya berdepan dengan cabaran berikut iaitu adakah khalayak sasaran karya terjemahan ini mempunyai latar akliah dan wacana yang sama dengan khalayak sasaran yang dibayangkan oleh pengarang?
Akhir sekali, seringkali saya ditanya atau dipertikai oleh kenalan, rakan penterjemah dalam bidang lain, dan pembaca yang tidak mempunyai latar belakang penyelidikan falsafah, kenapa saya asyik menggunakan istilah bahasa Melayu bagi istilah falsafah Barat? Kenapa, misalnya istilah analytic philosophy, tidak dialihbahasa atau ‘ditransliterasi’ menjadi falsafah analitik? Bukankah itu lebih mudah lagi mesra pembaca?
Jawab saya, tugas penting filsuf, antara lain, mencipta istilah atau faham (concept) bagi menggambarkan sesuatu maujud (entity) atau perkara. Maka dalam hal ini tugas filsuf yang menterjemah karya falsafah bukan setakat menterjemah istilah falsafah tetapi mencipta istilah falsafah yang asli dalam bahasa ibundanya.
Usaha mencipta istilah falsafah dalam bahasa ibunda ini menuntut pemahaman meluas tentang falsafah dan sejarahnya serta usaha menguasai bahasa ibunda dengan lebih mendalam. Selalunya itu mengambil waktu yang agak lama untuk menemui atau mencipta istilah yang tepat menggambarkan sesuatu faham. Kadangkala berhari-hari memikirkan perkataan yang terbaik. Ada kalanya istilah yang menjadi pilihan pada hari ini ditukar pula dengan perkataan lain pada waktu lain sesuai dengan pemahaman yang lebih baik tentang sesuatu faham.
Namun cabaran ini memberi dua kenikmatan besar kepada diri saya. Pertama, kenikmatan meneroka dan berujikaji dengan bahasa ibunda dengan mengasak batasan dalam segala kekuatan dan kelemahannya. Kedua, kenikmatan kerana usaha mencipta istilah falsafah dalam bahasa ibunda daripada istilah bahasa asing tersebut semacam membina perhubungan akliah antara saya dengan kalangan penterjemah dan filsuf Arab zaman silam yang mencipta istilah falsafah dalam bahasa Arab yang sepadan dengan istilah asalnya dalam falsafah Yunani kuno.
Apa ilmu baharu yang penterjemah peroleh ketika proses terjemah karya ini?
Setiap kerja penterjemahan itu satu proses. Setiap proses memberi pengalaman atau perspektif yang menyumbang kepada pengetahuan yang bersifat peribadi (subjektif). Setiap pengetahuan peribadi ini jikalau diteliti, dikritik, dibahas, dan dibandingkan dengan pengetahuan orang lain akhirnya akan melahirkan pengetahuan objektif yang bukan bersifat peribadi yang seterusnya pula, setelah melalui proses perbahasan dan penilaian yang lebih mendalam dalam suatu jangka waktu tertentu, mungkin berupaya melahirkan suatu ilmu atau, paling-paling bagus, ilmu baharu.
Berapa lama proses terjemahan?
Saya mengambil masa hampir setahun menyiapkan terjemahan buku ini.
Apa pengajaran dalam karya ini yang boleh dijadikan iktibar kepada pembaca?
Kita harus sentiasa bertanya dan mencari jawab sekalipun tidak semua pertanyaan kita beroleh jawapan. Jikalau kita tidak menemui jawapan bagi pertanyaan kita maka perlu diselidik adakah itu mungkin jua kerana kita tersalah bertanya. Justeru penting dalam bertanya kita bertanya soalan yang betul agar kita mendapat jawapan yang betul.
Ada bab yang beri kesan emosi tertentu?
Proses penterjemahan berjalan lancar dalam suasana jiwa yang tenteram. Namun ada kalanya jua ketenteraman ini terganggu dengan sikap fikiran yang keterlaluan, sengaja mempersulit perkara yang memang sudah sulit (bukankah kita merenung, bertanya, dan berfikir untuk merungkai kesulitan?) dan keterlaluan mengikut perasaan oleh kalangan filsuf Jerman dan Perancis yang bergulat dalam persoalan kewujudan (existentialism) dari sudut pandang diri sendiri yang terlalu bersifat peribadi semata-mata. Padahal seluruh kewujudan mungkin sedikit pun tidak pernah peduli tentang mereka.
Bahagian mana paling menarik dalam buku ini?
Semua bahagian masing-masing mempunyai daya tarikan yang tersendiri, termasuk bahagian yang menceritakan tentang telatah fikiran kalangan filsuf Jerman dan Perancis yang baru saya sebut sekejap tadi.
Namun ada bahagian yang tidak begitu menarik minat peribadi saya, yakni: Falsafah Nasrani.
Namun itu bukan pula salah aliran pemikiran ini, tetapi kerana saya mengambil pendirian yang sama dengan filsuf Bertrand Russell bahawa apa yang dikenali sebagai Falsafah Nasrani itu sebenarnya tidak layak digelar falsafah. Pada pandangan saya, pemikiran Nasrani tidak layak digelar falsafah kerana tidak memenuhi syarat berikut: falsafah tidak bermula dengan wibawa (authority) dan tidak berakhir dengan membela atau mempertahankan wibawa.
Pun begitu, pengkisahan tentang aliran pemikiran Nasrani dalam buku ini tetap jua menawan perhatian kerana pengarang menyisipkan kisah cinta agung Abelard dan kekasihnya Heloise.
Mengapa setiap rumah perlu ada buku ini?
Buku ini ditampilkan dalam kemasan yang cukup menawan hati. Maka ada baiknya jikalau buku ini ada di setiap rumah sekurang-kurangnya sebagai hiasan tambahan pada rak dan meja kopi.
Siapa tahu kalau suatu hari nanti rupa buku ini mempesona pandangan seorang pemuda yang rupa-rupanya berkecenderungan meneroka pertanyaan mendasar dan mencari jawab dalam bahasa ibundanya? Tidakkah pertanyaan dan jawapan aslinya kelak membanggakan ibunda kita dan menguntungkan bangsa kita?
Falsafah dianggap berat bagi segelintir masyarakat, adakah buku ini sesuai dibaca semua lapisan masyarakat?
Falsafah tidak dianggap berat oleh segelintir masyarakat, tetapi sebaliknya sebahagian besar masyarakat terutama masyarakat dunia membangun menganggap falsafah persoalan yang sangat berat. Bahkan sebenarnya, di mana-mana pun, tidak ramai orang yang berdaya menanggung beban falsafah di puncak aklinya.
Jadi, adakah buku ini sesuai dibaca semua orang? Sudah tentu tidak. Buku ini hanya sesuai dibaca oleh orang yang memang gemar membaca. Dan maklumat perangkaan menunjukkan semakin ramai penutur bahasa Melayu yang minat membaca atau sekurang-kurangnya menjadikan pengumpulan buku sebagai hobi.
Kalaupun pembaca yang menyelak lembaran buku ini tidak berminat dengan pertanyaan mendasar namun mereka masih boleh mendapat manfaat dengan mengenali pemikiran falsafah yang melatari dunia moden yang sedang mereka hidupi dan menjadikan segala perkara yang menghimpit kehidupan moden mereka waktu ini lebih masuk akal.