KUALA LANGAT, 28 OKT: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntuk RM196,100 untuk bantuan sempena sambutan Deepavali minggu ini.
Yang dipertuanya berkata dana kepada 53 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen itu memanfaatkan 1,060 masyarakat India negeri ini.
Menurut Datin Seri Masdiana Muhammad, perayaan itu bukan sahaja disambut kaum India tetapi diraikan semua rakyat yang ia menjadi simbol perpaduan dan keharmonian.
"Pada hari ini, seramai 100 individu dari Shah Alam, Banting, Sungai Pelek, Tanjung Sepat dan Dengkil terima bantuan.
"Bukan itu sahaja, kita juga menyerahkan sumbangan Kembali ke Sekolah kepada 200 pelajar dalam bentuk wang tunai dan beg sumbangan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
"Diharap sumbangan ini dapat membantu mereka belajar dengan lebih tekun dan mencapai kejayaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sembah ucapan kepada Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor sempena program Ziarah Kasih Pekawanis 2.0 anjung selatan Selangor, semalam.
[caption id="attachment_670224" align="alignnone" width="803"] Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin (tengah) bersama Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad bersama Orang Asli Temuan pada Program Ziarah Kasih Pekawanis 2.0 ke anjung selatan Selangor 2024 di Rumah Melayu Gamuda Cove pada 27 Oktober 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Terdahulu, Tengku Permaisuri Selangor berkenan mencemar duli ke Kuil Fo Guang Shan Dong Zen diiringi Masdiana. Ketibaan Baginda disambut EXCO Pelaburan Ng Sze Han dan EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu.
Menerusi program dua hari, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan memulakan lawatan dengan mengunjungi Gamuda Cove.
Baginda kemudian meluangkan masa hampir satu jam ke taman rekreasi Paya Indah Discovery Wetlands seluas 1,111 ekar bagi melihat keindahan alam sekitar selain dibawa melawat Hentian Tasik Sendayan serta Rumah Melayu seterusnya ke Taman Tema Air SplashMania dan Menara Berpusing Cove Aerobar.
Tengku Permaisuri Selangor turut berkenan ke Hong Long Dragon Fruit Eco Farm, melawat menara buah naga terbesar di dunia dan menyaksikan pembuatan roti buah naga.