SHAH ALAM, 28 OKT: Program Rentak Selangor 2024 anjuran Kerajaan Negeri memupuk semangat perpaduan sekali gus menyatupadukan masyarakat tanpa mengira usia, jantina dan bangsa.
EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata kehadiran lebih 2,000 pengunjung ke program itu juga melambangkan sokongan selain merai keharmonian menerusi muzik khususnya irama 80-an.
"Sejak diperkenal pada 2016 ia merupakan satu program persembahan pentas bercirikan kesenian dan kebudayaan yang dianjurkan secara tahunan bertemakan Manifestasi Keroncong dengan menjelajah ke sembilan daerah.
"Namun, pada tahun lalu kita berikan nafas baharu dengan mengetengahkan tema 70-an manakala tahun ini kita bawa pula tema 80-an bagi memperkenal irama era ini kepada generasi baharu selain menghargai barisan artis pada zaman berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Rentak Selangor 2024: Evolusi Muzik dan Irama 80-an di Auditorium Wisma MBSA di sini, malam tadi.
[caption id="attachment_670293" align="alignnone" width="836"] Persembahan kumpulan muzik ketika program Pesta Rentak Selangor 2024: Evolusi Nostalgia Irama 80-an Evolusi Muzik di Wisma MBSA, Shah Alam pada 27 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Memasuki edisi ke sembilan penganjuran, Borhan berkata program kali ini diharap dapat memberi inspirasi kepada generasi muda meneruskan perjuangan industri tempatan.
"Semoga ia turut menggalakkan kemunculan bakat baharu yang berpotensi besar dalam industri muzik negara dan secara tidak langsung ekonomi dalam industri seni negeri dan tanah air dapat berkembang," katanya.
Konsert pada acara itu menampilkan artis era 80-an iaitu Datuk Jamal Abdillah, Datuk Francissca Peter, Datuk Malik Ridzuan dan Zur Eda selain pengacara majlis Fauziah Ahmad Daud.
Penonton turut dihiburkan dengan persembahan muzik rock Samudera dan Slash selain penampilan bekas gitarisnya, Dato' Johary Anuar yang kini Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan).