ad
AGENDA

Tiada kerja lebih atau kes buli kematian doktor Hospital Seberang Jaya

27 Okt 2024, 2:38 PM
Tiada kerja lebih atau kes buli kematian doktor Hospital Seberang Jaya

GEORGE TOWN, 27 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati tiada unsur kerja berlebihan atau buli dalam kes kematian seorang doktor di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dekat sini yang didakwa berpunca akibat dibuli ketika dalam perkhidmatan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata ia berikutan siasatan awal mendapati, terdapat 30 pengamal perubatan yang bekerja ketika doktor itu bertugas, berbanding maksimum 25 doktor pada satu-satu masa.

“Namun begitu, kami sedang menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut, malah kita bukan sahaja melihat (kes buli) di Pulau Pinang, tetapi juga pada peringkat nasional, kita sedang menangani semua kes buli (yang ada)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (Bebas) yang dijalankan serentak dengan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta 852 Peringkat Pulau Pinang di Medan Renong dan Jalan Penang di sini hari ini.

Pada 17 Oktober lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM sedang menyiasat kes kematian melibatkan doktor di sebuah hospital di Seberang Jaya Jun lalu yang dipercayai turut mempunyai kaitan dengan perbuatan buli serta beban kerja melampau.

Mengulas lanjut, Lukanisman menegaskan KKM tidak akan berkompromi dengan kejadian buli yang berlaku di mana-mana fasiliti kementerian di seluruh negara, termasuk insiden kematian pakar perubatan patologi hospital di Lahad Datu, Sabah di kediamannya pada 29 Ogos, yang didakwa mempunyai kaitan dengan insiden buli di tempat kerja.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.