SHAH ALAM, 27 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia memberi khidmat nasihat dan latihan bagi memastikan penubuhan Unit Integriti di 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.
Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki berkata setakat ini hanya 49 PBT menubuhkan Unit Integriti masing-masing dan SPRM menggesa PBT memberi keutamaan dengan menubuhkan unit terbabit.
Jelasnya, penubuhan unit itu selaras dengan keperluan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian 1.2.1: Penubuhan Unit Integriti di semua sektor awam seperti disarankan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).
“Unit Integriti perlu melaksanakan enam teras dengan berkesan iaitu tadbir urus; pengukuhan integriti; pengesanan dan pengesahan; pengurusan aduan; pematuhan dan tatatertib.
“SPRM menggesa penubuhan Unit Integriti di setiap PBT diberi keutamaan. Unit ini penting untuk membendung salah laku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika di peringkat agensi,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, Azam menjelaskan Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM akan membantu menyelaras pelaksanaan fungsi Unit Integriti selain menyediakan dasar dan mekanisme pengurusan bagi agensi awam.
"Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), sebuah institusi bertaraf antarabangsa di bawah SPRM turut memainkan peranan penting dalam menyediakan program latihan berkaitan pencegahan rasuah dan integriti.
"SPRM mengalu-alukan kerjasama dan kolaborasi berterusan daripada agensi awam untuk melaksanakan inisiatif digariskan dalam NACS. Melalui usaha ini, kita dapat memperkukuh imej negara dan merealisasikan aspirasi bersama untuk memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Azam berkata SPRM menyambut baik inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memasukkan elemen antirasuah dalam sistem penilaian PBT pada tahun ini.
"SPRM yakin inisiatif ini akan mempertingkatkan ketelusan dalam prestasi PBT. Langkah ini penting untuk memperkukuh integriti, tadbir urus, dan tatakelola demi merealisasikan sistem perkhidmatan awam yang cekap, bersih, dan berkesan," katanya.
Semalam, Menteri KPKT Nga Kor Ming berkata 12 PBT dijatuhkan taraf Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT) selepas elemen antirasuah dimasukkan dalam sistem penilaian itu yang bermula tahun ini.
Beliau berkata elemen itu dimasukkan bertujuan memastikan negara ini dapat melonjak daripada kedudukan yang lebih baik dalam Indeks Persepsi Rasuah selari dengan Strategi Pembanterasan Rasuah (NACS) 2024-2028.