ad
AGENDA

Hanya pelajar lepasan SPM terlibat PLKN bermula Januari 2025

27 Okt 2024, 9:16 AM
Hanya pelajar lepasan SPM terlibat PLKN bermula Januari 2025
Hanya pelajar lepasan SPM terlibat PLKN bermula Januari 2025

SUNGAI PETANI, 27 OKT: Hanya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan terlibat dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dijadualkan bermula Januari 2025, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Beliau berkata wujud salah faham dalam kalangan masyarakat berkenaan had umur yang ditetapkan untuk menyertai PLKN sekali gus menimbulkan keresahan orang ramai berhubung perkara itu.

"Fokus kita tahun hadapan ialah lepasan SPM, contohnya lepas SPM tak boleh hadir sebab beberapa kekangan, (maka) dia boleh hadir hingga usia 35 tahun, itu mengikut akta.

"Tetapi, fokus kita ialah pelajar lepasan SPM, saya rasa di situ ada salah faham tentang kaedah pengambilan. Memang ada keresahan … mereka kata umur 30 sudah bekerja, tidak timbul isu, kita meletakkan akta tujuannya agar mereka diberi sedikit kelonggaran," katanya.

[caption id="attachment_587699" align="alignleft" width="452"] Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari (kiri) pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) ke-57 di Wisma Perwira pada 18 Jun 2023. Foto BERNAMA[/caption]

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Pemerkasaan Usahawan Veteran (PUVET) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Peringkat Negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di sini hari ini.

Adly berkata bermula Januari tahun hadapan, 1,000 peserta terlibat dengan PLKN dan akan ditempatkan di dua kem latihan.

"Dari segi modul pula akan ada penambahbaikan yang kita buat berdasarkan PLKN sebelum ini. Bagi kita apa yang penting apabila mereka keluar PLKN, selain ada semangat jati diri, mereka juga mempunyai kemampuan dan keupayaan yang tinggi untuk memastikan mereka berjaya dalam bidang masing-masing," katanya.

Sementara itu, mengenai dakwaan kekerapan kapal dari negara luar terutamanya China masuk ke perairan negara seperti yang tular baru-baru ini, Adly berkata masyarakat tidak perlu gusar dengan keselamatan dan keupayaan pertahanan di perairan negara.

"Saya rasa tak perlu gusar, ini amalan biasa dan kita dah sampaikan maklumat ini ke parlimen bahawa ia sebahagian daripada kerjasama dua hala kita. Mana-mana kapal yang nak berlabuh di Malaysia kena buat permohonan kepada kita," katanya.

Adly berkata sepanjang Oktober sahaja, Malaysia menerima kunjungan dari negara seperti Amerika Syarikat (USA), Itali, Jerman, Rusia dan China.

"Kita memang agak kerap terima (kedatangan kapal lain), kadang-kadang sebulan dua tiga kali kapal dari pelbagai negara. Ini amalan Malaysia sebagai negara berkecuali dan kita terbuka untuk menerima rakan pertahanan kita, tetapi mereka mesti melalui proses ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, Adly menyampaikan geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) bernilai RM140,000 kepada 28 usahawan veteran ATM dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang yang terlibat dalam perniagaan seperti perkhidmatan, elektrik, pembuatan, makanan dan peruncitan.

"Hingga kini terdapat 161 usahawan veteran ATM menerima geran SPKLB dengan nilai keseluruhan berjumlah RM805,000.

"Saya harap dengan bantuan ini mereka akan dapat meningkatkan mutu keusahawanan mereka dalam konteks meningkatkan peralatan dan produktiviti, bagi membantu menambah pendapatan mereka," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.