KUALA LUMPUR, 27 OKT: Polis memohon bantuan orang ramai mengesan remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang dan kali terakhir dilihat di Aeon Big Subang Jaya, Jalan Kemajuan Subang, Selangor 12 tengah hari, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat dalam kenyataan hari ini berkata laporan kehilangan Banupriya Balamurugan diterima 5.32 petang hari sama.
Beliau berkata remaja itu mempunyai ketinggian 168 sentimeter dan berat badan 55 kilogram selain memiliki mata dan rambut panjang berwarna coklat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan mangsa dimohon tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222 atau 03-78627100.
- BERNAMA