ad
AGENDA

Kanak-kanak lelaki empat tahun terjatuh dari tingkat 12 kondominium stabil

27 Okt 2024, 7:44 AM
Kanak-kanak lelaki empat tahun terjatuh dari tingkat 12 kondominium stabil

GEORGE TOWN, 27 OKT: Kanak-kanak lelaki yang terjatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium di Lebuh Tunku Kudin, Gelugor di sini semalam dilaporkan stabil.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata kanak-kanak berusia empat tahun itu sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta di sini.

"Berdasarkan keterangan keluarga kanak-kanak itu, mangsa dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di ICU untuk pemerhatian selama 48 jam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk merekodkan keterangan ibu bapa dan saksi yang melihat kejadian itu serta kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam kejadian kira-kira 9.20 pagi semalam, kanak-kanak lelaki itu dilaporkan parah setelah terjatuh dari bilik tidur utama rumahnya.

Siasatan polis mendapati mangsa ditemukan oleh neneknya berusia 63 tahun yang juga penjaganya di tingkat tujuh dan difahamkan mangsa yang merupakan anak tunggal itu terjatuh dari tingkap bilik tidur utama ketika neneknya berada dalam tandas.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.