ad
AGENDA

Kutipan hasil Selangor RM2.218 bilion takat Oktober, lepasi sasaran awal

27 Okt 2024, 2:08 AM
Kutipan hasil Selangor RM2.218 bilion takat Oktober, lepasi sasaran awal
Kutipan hasil Selangor RM2.218 bilion takat Oktober, lepasi sasaran awal

KLANG, 27 OKT: Selangor mencatat kutipan hasil RM2.218 bilion setakat ini, lebih tinggi berbanding sasaran awal tahun ini iaitu RM2.2 bilion.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata prestasi cemerlang itu antaranya disumbang perkembangan positif ekonomi dan kemasukan pelaburan yang agresif.

Beliau berkata ia turut disumbang pembukaan kawasan baharu, pembangunan, perkilangan, pusat data serta beberapa pusat kecemerlangan yang rancak berkembang.

“Kita sudah capai sasaran kita RM2.2 bilion malahan lebih setakat ini RM2.218 bilion maknanya lebih sekitar RM18 juta.

“Alhamdulillah, sebenarnya ini tahun keempat kita sudah dapat capai lebih daripada sasaran dengan tahun lepas lebih tinggi RM2.7 bilion (2023), tahun sebelum itu RM2.5 bilion (2022), tahun sebelum itu RM2.3 bilion (2021).

“Dalam pertimbangan kita, mungkin untuk tempoh dua bulan ini kita boleh capai lebih lagi dan kita sedang tunggu sebab sebahagiannya melibatkan isu tanah, kadang-kadang mereka bayar premium atau ada yang bayar tahun depan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis sambutan Deepavali peringkat Selangor di Dataran Klang @ Padang Chetty di sini malam tadi yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung pelbagai kaum.

[caption id="attachment_670148" align="alignnone" width="790"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak selepas majlis perasmian sambutan Deepavali peringkat negeri di Dataran Klang @ Padang Chetty, Klang pada 26 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Mengulas lanjut, Amirudin berkata setakat Jun, Selangor berjaya meraih pelaburan berjumlah RM35 bilion dan optimis mencapai sasaran RM50 bilion menjelang akhir tahun.

Katanya, prestasi konsisten Selangor mencapai nilai pelaburan yang signifikan menunjukkan bahawa ekosistem pelaburan di negeri ini adalah antara yang terbaik di Malaysia.

“Kita capai keseluruhan RM35 bilion daripada sasaran RM50 bilion tahun ini. Itu baru setengah tahun. Jadi kita sasarkan boleh capai sasaran yang telah ditetapkan menjelang akhir tahun.

“Ini menunjukkan consistency (ketekalan) negeri dalam mencatatkan jumlah pelaburan yang signifikan. Daripada segi angka, kita menduduki tangga kedua selepas Kuala Lumpur dan di tangga ketiga diikuti Kedah dan diikuti negeri-negeri lain.

“Jadi saya percaya ini adalah pencapaian yang baik. Apa yang saya ingin nyatakan adalah consistency. Kadang-kala orang sebut kita tidak jadi juara, tapi yang penting consistency kita itu tiap-tiap tahun dalam tiga teratas. Kadang-kadang kita nombor satu atau dua atau tiga. Ini menunjukkan bahawa ekosistem pelaburan di negeri ini adalah antara ekosistem yang terbaik di Malaysia,” katanya.

Sebelum ini EXCO Pelaburan Ng Sze Han memaklumkan Selangor merekodkan jumlah pelaburan RM55.3 bilion tahun lalu melebihi sasaran RM45 bilion yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.