SHAH ALAM, 25 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan cuaca panas yang melanda beberapa kawasan sudah reda dengan hujan di kebanyakan tempat hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) MetMalaysia, Ambun Dindang berkata pihaknya mengeluarkan amaran cuaca panas tahap 1 susulan suhu tinggi direkodkan di beberapa stesen pemantauan cuaca.
“Amaran cuaca panas tahap 1 (berjaga-jaga) dikeluarkan apabila kriteria dipenuhi iaitu suhu tertinggi harian direkodkan di stesen pemantauan cuaca permukaan melebihi 35 sehingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
“Kriteria ini telah dipenuhi pada beberapa hari lalu tetapi keadaan sudah kembali normal selepas hujan di kebanyakan tempat di negara kita,” katanya kepada Media Selangor.
Ambun menambah, negara masih berada dalam fasa peralihan monsun yang mana ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan.
“Ribut petir serta hujan lebat dan angin kencang dijangka terus berlaku di kebanyakan tempat terutama pada sebelah petang dan awal malam,” katanya.
Untuk ramalan terkini sila rujuk laman sesawang www.met.gov.my atau menerusi laman sosial rasmi MetMalaysia.
Semalam, MetMalaysia mengeluarkan amaran cuaca panas tahap 1 iaitu berjaga-jaga di tujuh kawasan di Semenanjung.
Kawasan terbabit adalah Gombak dan Petaling di Selangor; Larut, Matang dan Kuala Kangsar di Perak; Wilayah Persekutuan Putrajaya; serta Maran dan Temerloh di Pahang.
Suhu maksimum harian di kawasan tersebut sekitar 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.