PUTRAJAYA, 25 OKT: Lebih separuh daripada 422 syor penambahbaikan sistem dan prosedur yang diberikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada pelbagai agensi berjaya dilaksanakan dengan baik.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata sehingga suku ketiga tahun ini, 229 syor atau 54.3 peratus daripada 422 syor penambahbaikan hasil daripada penyiasatan tatakelola yang dilakukan SPRM berjaya dilaksanakan agensi terlibat.
"Amat penting untuk organisasi mengkaji dan menambah baik amalan, sistem dan prosedur sedia ada agar boleh menutup ruang kepada rasuah.
"Selain itu, penggunaan sistem dan teknologi juga boleh meningkatkan tatakelola organisasi.
"Penambahbaikan sistem dan prosedur kerja boleh dilaksanakan sendiri oleh organisasi secara berkala dan tidak hanya menunggu sehingga pengauditan oleh Jabatan Audit Negara atau penyiasatan tatakelola oleh SPRM," katanya ketika merasmikan Majlis Apresiasi Penambahbaikan Tatakelola Agensi (APTA) Tahun 2024 di sini hari ini.
Syor berkenaan diberikan SPRM kepada pelbagai agensi bagi meminimakan risiko rasuah dan penyelewengan di dalam organisasi serta berupaya mencegah ketirisan hasil kerajaan.
Pelaksanaan penambahbaikan itu menjadi agenda tetap untuk dilaporkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola Peringkat Nasional (JTK) yang mana ia sebagai langkah pemantauan dan penilaian terhadap kementerian dan kerajaan negeri dalam melaksanakan penambahbaikan disyorkan SPRM.
Pada majlis berkenaan, Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSP) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kedah menerima penghargaan APTA Tahun 2024 atas usaha dan komitmen agensi dalam melaksanakan sepenuhnya syor penambahbaikan sistem dan prosedur dalam masa dua tahun, menghasilkan impak positif atas penambahbaikan, melaksanakan hebahan terhadap penambahbaikan yang dilaksanakan selain bebas dari isu panas berkaitan rasuah sepanjang penilaian.
MSP menerima penghargaan itu melibatkan penambahbaikan ke atas pengurusan kewangan dan perolehan berkaitan permohonan serta pelaksanaan program sukan yang menyaksikan peningkatan kutipan sumbangan daripada RM300,000 pada 2020 kepada RM2.7 juta pada 2023.
PTG Negeri Kedah pula melaksanakan penambahbaikan ke atas pengurusan penyaksian pindah milik tanah yang menghasilkan peningkatan 47 peratus bagi kutipan urusniaga berjumlah RM11.8 juta.
Sementara itu, majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran buku kompilasi Amalan Terbaik Pembentangan Penambahbaikan Tatakelola Edisi 2023 sebagai usaha SPRM berkongsi amalan baik tatakelola oleh empat agensi penerima penghargaan APTA Tahun 2023.
[caption id="attachment_669955" align="aligncenter" width="1072"] Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki (tiga, kiri) bersama penerima Apresiasi Penambahbaikan Tatakelola Agensi (APTA) Tahun 2024 di Putrajaya pada 25 Oktober 2024. Foto SPRM[/caption]