Khilaf adalah perkara biasa berlaku dalam kehidupan. Apatah lagi, dalam pentafsiran teks Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Wacana syariah lazimnya berlaku kepada tiga tajuk utama berikut;
- Fikah yang berkaitan amalan perbuatan.
- Akidah yang melibatkan kepercayaan dalam memastikan kefahaman terhadap tuhan dan sebagainya dengan menggunakan pendekatan akal yang dipandu oleh wahyu.
- Tasawwuf yang melibatkan amalan hati.
Dalam menanggapi tiga perkara itu yang berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah ini, kalangan ulama-ulama Islam membahagikan kepada dua perkara utama;
- Qatie, iaitu sesuatu perkara yang difahami secara pasti yang tidak akan berlaku sebarang pentafsiran yang pelbagai.
- Zanni, iaitu sesuatu perkara yang difahami yang terbuka kepada pentafsiran pelbagai.
Contoh perkara yang qatie dalam perkara fikah, seperti kewajipan menunaikan solat lima waktu, kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan, kewajipan membayar zakat dan sebagainya. Contoh perkara zanni dalam perkara fikah antaranya melakukan qunut subuh, kerana ia dianggap sunat dalam mazhab Syafie, tetapi tidak dianggap sunat dalam mazhab selain mazhab syafie. Atau seperti fatwa mazhab syafie berkenaan kewajipan basuh tujuh kali dan salah satu air tanah bagi yang bersentuhan dengan babi, sedangkan tidak difatwakan wajib oleh mazhab selain syafie.
Contoh perkara qatie dalam perkara akidah seperti kepercayaan bahawa Allah itu Maha Esa, Nabi Muhammad SAW sebagai nabi akhir zaman, kewujudan malaikat dan sebagainya. Contoh perkara zanni dalam perkara akidah seperti berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan ulama-ulama Islam berkenaan status bapa Nabi sebagai ahli syurga atau tidak. Kekhilafan itu berlaku ekoran dari satu hadis bahawa Anas bin Malik bercerita, ada seorang lelaki bertanya nabi: “Wahai Rasulullah, di mana bapaku (di akhirat kelak)?” Nabi saw menjawab: “dalam neraka”. Tidak lama kemudian, Nabi saw pun memanggil Anas dan bersabda lagi: “bapaku dan bapa kamu dalam neraka”. (muslim, hadis no: 203)
Lazimnya ulama-ulama aliran saudi seperti Ben Baz, beliau menyatakan bahawa bapa Nabi saw itu adalah ahli neraka berdasarkan kepada hadis tersebut. Namun, ulama-ulama yang lazimnya dari Universiti al-Azhar seperti Yusuf al-Qaradawi, Syaikh Muhammad al-Ghazali dan Atiyyah Saqr bahawa tafsiran bapa Nabi saw sebagai ahli neraka berdasarkan hadis itu dianggap bercanggah dengan al-Quran, iaitu firman Allah dalam ayat ke-15, Surah al-Isra’: “Tidaklah kami kalangan yang memberi azab hinggalah kami datangkan Rasul”.
Memandangkan bapa Nabi saw meninggal dunia sebelum baginda dilahirkan, maka tiga ulama ini menyatakan bahawa bapa Nabi bukan ahli neraka. Sedangkan hadis di atas pula, ditakwilkan bahawa “bapaku” dalam hadis bukan Abdullah bin Abdul Muttalib, tetapi bapa saudara nabi, iaitu Abu Talib bin Abdul Muttalib dengan alasan, bagi masyarakat Arab, mereka memanggil “bapa” juga kepada bapa saudara.
Contoh perkara qatie dalam perkara tasawwuf adalah konsep tazkiyah al-Nafs (proses penyucian hati). Contoh perkara zanni adalah keterlibatan dengan tarekat.
Dalam menanggapi sikap terhadap perkara qatie adalah bertegas. Hal ini kerana, menyanggahi perkara qatie itu boleh mengundang kepada dosa, malah boleh mengundang kepada tercalar akidah. Contohnya, solat lima waktu adalah wajib secara qatie. Justeru, tidak menunaikan solat adalah dosa besar, malah jika mengingkari kewajipan solat terbabit boleh menjadinya terkeluar dari Islam. Atau, kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadan yang jika tidak ditunaikan tanpa sebab-sebab yang syarie, ia boleh mengundang kepada berdosa. Malah, jika diingkari kewajipan puasa tersebut, ia boleh mengundang calar kepada akidah.
Dalam menanggapi sikap terhadap perkara zanni pula adalah meraikan dan berlapang dada. Ekoran itu, tidak wajar bergaduh dan bertelagah dalam hal yang melibatkan pendapat-pendapat ulama mazhab. Seperti, tidak perlu berbalah berkenaan solat di Masjidil Haram yang imamnya tidak membaca qunut subuh atau tidak membaca bismillah ketika membaca surah al-Fatihah. Demikian juga, tidak perlu bertelagah berkenaan bilangan rakaat solat tarawih, sama ada 20 rakaat atau lapan rakaat.
Dalam wacana tiga perkara ini, perkara zanni jauh lebih banyak berbanding perkara qatie. Malah, sering berlaku pertembungan dalam masyarakat berkenaan wacana Islam, jika diteliti lebih mendalam, didapati ia masih dalam lingkungan perkara zanni.