PETALING JAYA, 25 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntuk RM900,000 untuk menaik taraf Urban Park 1, di sini pada tahun depan.
Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata projek tersebut antaranya laluan pejalan kaki, ruang pelbagai guna, tandas awam, pengindahan dan sistem saliran dilaksanakan di kawasan seluas kira-kira 4.9 hektar.
"Program di bawah Rejuvenasi Taman Rakyat akan bermula tahun depan. Usaha ini seiring tema bandar rendah karbon bagi memastikan penduduk menikmati taman yang lebih indah dan terurus" katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis serahan sumbangan Deepavali kepada kaum India kurang berkemampuan sekitar Petaling Jaya di Ibu Pejabat MBPJ di sini, semalam.
Jelasnya, pembangunan di Urban Park 1 itu turut menumpukan keperluan ekologi, biodiversiti tapak dan kehendak pemegang taruh secara berfasa bermula 2025 hingga 2027.
"Tahun depan, MBPJ akan lebih tertumpu kepada peranan asas pihak berkuasa tempatan antaranya seperti menaik taraf longkang, tandas dan pelbagai lagi demi keselesaan penduduk," katanya.