CYBERJAYA, 24 OKT: Masyarakat diseru terus mengamalkan kawalan kesihatan kendiri sebagai langkah pencegahan jangkitan cacar monyet (Mpox) di negara ini.
Bekas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jangkitan virus Mpox dilihat masih terkawal berikutan penularannya tidak cepat dan berbahaya seperti Covid-19.
“Saya lihat Mpox masih terkawal kerana transmisinya melalui sentuhan. Kalau kita boleh kawal sempadan kita, kita boleh elak dan ia juga tidak menular secepat Covid-19.
“Kita boleh ambil langkah berjaga-jaga seperti cuci tangan, elak tempat sesak dan pakai topeng muka. Ada beberapa kes (Mpox) dilaporkan tetapi ia tidak merebak seperti Covid-19,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu beliau yang juga Cancelor Universiti Cyberjaya menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Kesihatan Awam Selangor 2024 di Universiti Cyberjaya di sini, hari ini.
Semalam, pihak berkuasa kesihatan Jerman melaporkan jangkitan membabitkan varian baharu Mpox Clade 1b dikesan di negara itu membabitkan seorang lelaki berumur 33 tahun yang baharu pulang dari Afrika.
Bulan lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan satu kes positif Mpox dalam varian Clade II dikesan, menjadikan semua 10 kes bermula 26 Julai lalu yang hanya membabitkan Clade ll sahaja.
Mpox diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC) untuk kali kedua pada 14 Ogos lalu susulan penularan virus Clade yang lebih pantas di rantau Afrika.