ad
AGENDA

Dana RM100 juta sedia lebih 4,000 ruang niaga, kadar sewa rendah

24 Okt 2024, 7:48 AM
Dana RM100 juta sedia lebih 4,000 ruang niaga, kadar sewa rendah

SHAH ALAM, 24 OKT: Sejumlah RM100 juta diperuntuk bagi menyediakan 4,046 ruang niaga melalui inisiatif MyKiosk pada tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata MyKiosk bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat dengan tawaran kadar sewa yang rendah.

“Insiatif ini juga untuk meningkatkan pendapatan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui sewaan kiosk serta menyediakan ruang niaga yang seragam, selamat dan selesa kepada peniaga.

“Pelaksanaan MyKiosk ini adalah selari dengan aspirasi belanjawan Kerajaan MADANI yang memfokuskan penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Padang Serai Dato’ Azman Nasrudin pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambahnya, seramai 3,189 peniaga telah mendapat manfaat daripada program ini dengan peruntukan sejumlah RM50 juta pada tahun 2023.

“Tahun lalu, kiosk ketika itu dilengkapkan dengan kapasiti tenaga solar sebanyak 300 watt yang sesuai untuk kegunaan peranti peralatan elektrik yang kecil seperti pengecas telefon dan kipas mudah alih untuk memberi keselesaan kepada peniaga.

“Untuk tahun ini, KPKT membuat penambahbaikan terhadap spesifikasi reka bentuk yang lebih lestari alam serta menarik tanpa peningkatan kadar sewaan. Kini, setiap unit kiosk dilengkapi dengan tenaga solar berkapasiti 1,000 watt,” jelasnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.