ad
AGENDA

Menteri: DBKL giat laksana pelbagai inisiatif atasi banjir kilat

24 Okt 2024, 3:50 AM
Menteri: DBKL giat laksana pelbagai inisiatif atasi banjir kilat

SHAH ALAM, 24 OKT: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksana pelbagai inisiatif bagi menghadapi banjir kilat di Kuala Lumpur sebagai persiapan penganjuran Sidang Kemuncak Asean 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata dalam usaha jangka pendek, DBKL sudah menyelaras tindakan pembersihan sistem saliran di kawasan terjejas banjir bagi memastikan aliran lancar dan mampu menampung air ketika hujan.

“DBKL juga meneruskan kerja penyelenggaraan sistem saliran seperti kolam takungan banjir terbuka, kolam takungan bawah tanah, penyelenggaraan sungai, parit induk dan longkang di tepi jalan dari masa ke masa.

“Dalam usaha jangka sederhana bagi menghadapi bencana banjir kilat di Kuala Lumpur, DBKL menyelenggara 15 kolam takungan banjir terbuka dan sembilan kolam tertutup bawah tanah,” kata Dr Zaliha Mustafa.

Menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Pahat Onn Abu Bakar pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Dr Zaliha berkata tujuh projek mitigasi banjir siap dibina antara 2022 hingga 2023 sebagai tindakan jangka panjang.

“Manakala pada 2024, terdapat 14 projek, iaitu dua projek sudah siap, empat dalam pelaksanaan, dan lapan di peringkat analisa tender.

“Seterusnya bagi tempoh 2025 hingga 2027, empat lagi projek dirancang,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.