ad
AGENDA

Beberapa kenderaan rosak diserang gerombolan gajah liar di Gerik

24 Okt 2024, 2:25 AM
Beberapa kenderaan rosak diserang gerombolan gajah liar di Gerik

IPOH, 24 OKT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan menerima laporan beberapa kenderaan rosak akibat diserang sekumpulan gajah liar berhampiran Tugu Peringatan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, semalam.

Pengarahnya Yusoff Shariff berkata aduan mengenai kejadian itu diterima kira-kira 10 malam tadi dan lapan kakitangan Perhilitan telah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kakitangan Perhilitan telah menghalau kesemua gajah dengan menggunakan kaedah tembak dan halau.

"Dianggarkan kira-kira 25 hingga 30 ekor gajah berada di tempat kejadian ketika itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, media melaporkan sekurang-kurangnya lima buah kenderaan rosak akibat diserang sekumpulan gajah liar dalam kejadian kira-kira 9 malam.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.