ad
AGENDA

Lebih banyak negara kutuk serangan pengganas di Turkiye

24 Okt 2024, 2:04 AM
Lebih banyak negara kutuk serangan pengganas di Turkiye

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 24 OKT: Pakistan dan beberapa negara lain dengan tegas mengutuk serangan pengganas yang berlaku pada Rabu di ibu negara Turkiye, Ankara serta menyatakan solidariti bersama Turkiye.

Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan 22 lagi cedera apabila seorang lelaki dan seorang wanita pengganas menyasarkan fasiliti utama Turkish Aerospace Industries (TAI).

"Amat terkejut dan sedih dengan serangan pengganas di Ankara. Takziah saya ucapkan buat saudara saya Presiden Recep Tayyip Erdogan dan rakyat Turkiye.

"Pakistan berdiri teguh bersama saudara-saudara kami di Turkiye. Saya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan keji ini dan berdoa untuk keluarga mangsa serta pemulihan segera bagi yang cedera," kata Perdana Menteri Shehbaz Sharif dalam hantaran di X.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar menyifatkan serangan itu sebagai "pengecut" dan menyatakan solidariti bersama kerajaan dan rakyat Turkiye.

Sambil mengutuk serangan terbabit, Azerbaijan menegaskan akan sentiasa bersama Turkiye.

Somalia memuji tindakan pantas pasukan keselamatan Turkiye dalam menumpaskan para penyerang.

"Tindakan pengecut ini bukan sahaja serangan terhadap Turkiye, tetapi ancaman kepada keamanan dan keselamatan global. Somalia, yang pernah berhadapan dengan cabaran serupa, bersimpati dengan Turkiye," menurut kenyataan Kementerian Luar Somalia.

Qatar turut menzahirkan sokongan terhadap Turkiye dalam semua langkah untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan.

Kenyataan Kementerian Luar Qatar menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta kerajaan dan rakyat Turkiye.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.