ad
BERITA UTAMA

Program Anak Selangor Anak Sihat kurangkan 20 peratus masalah kanak-kanak bantut

23 Okt 2024, 10:10 AM
Program Anak Selangor Anak Sihat kurangkan 20 peratus masalah kanak-kanak bantut
Program Anak Selangor Anak Sihat kurangkan 20 peratus masalah kanak-kanak bantut

CYBERJAYA, 23 OKT: Program Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) berjaya mengurangkan 20 peratus masalah kanak-kanak bantut di negeri ini sejak diperkenalkan pada 2021.

Penyelidik Bersama di ASAS, Dr Rosilawati Mat Ya berkata program berkenaan diperkenal bagi menangani isu kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak yang semakin membimbangkan di Selangor.

“Berdasarkan data, statistik berat dan tinggi anak Selangor memang membimbangkan dan kalau tidak dicegah lebih awal, ia jadi lebih serius kerana beri kesan kepada kesihatan mental apabila dewasa.

“Sejak ditubuhkan pada 2021, kita berjaya mengurangkan masalah kanak-kanak bantut sebanyak 20 peratus dan usaha itu akan diteruskan,” katanya.

[caption id="attachment_669594" align="alignleft" width="500"] Penyelidik Bersama di Anak Selangor Anak Sihat (ASAS), Dr Rosilawati Mat Ya antara panelis pada Persidangan Kesihatan Awam di Universiti Cyberjaya pada 23 Oktober 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Beliau berkata demikian ketika dijemput sebagai panelis pada Persidangan Kesihatan Awam di Universiti Cyberjaya di sini, hari ini. Majlis itu disempurnakan EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin.

Dr Rosilawati menambah, lebih 3,000 kanak-kanak berumur bawah 12 tahun yang mengalami masalah berat dan ketinggian meraih manfaat menerusi program ASAS.

Beliau menambah program ASAS akan terus diperkasa di peringkat komuniti menerusi Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) di setiap Dewan Undangan Negeri.

“Mulai 2024, kita akan melatih sukarelawan dan mereka bimbing ibu bapa terlibat khususnya membantu menyediakan makanan dengan zat lengkap. Ramai beranggapan makanan nutrisi ini mahal, sedangkan tidak,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM500,000 bagi melaksana program ASAS pada 2023. Program bawah agenda Iltizam Selangor Sihat merupakan kerjasama bersama Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Januari lalu, laporan Tinjauan Kebangsaan dan Kesihatan Malaysia (NHMS) 2022 mendedahkan Selangor mencatatkan populasi kanak-kanak bantut paling tinggi di negara ini dengan 110,480 orang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.