ad
AGENDA

4,043 kemalangan jalan raya, 779 maut libat pelajar sekolah hingga September

23 Okt 2024, 9:10 AM
4,043 kemalangan jalan raya, 779 maut libat pelajar sekolah hingga September

IPOH, 23 OKT: Sebanyak 779 kes kemalangan maut membabitkan pelajar sekolah direkodkan di seluruh negara sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata 4,043 kes kemalangan jalan raya melibatkan pelajar sekolah direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan trend membimbangkan dan ia mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bukit Aman menyahut kebimbangan (Perdana Menteri) dan kita mengadakan operasi khas kemalangan jalan raya dengan memberi fokus kepada penunggang motosikal kerana ia merupakan antara penyumbang kemalangan jalan raya paling tinggi berbanding kenderaan lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya dan Op Khas Motosikal di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata 498 pelajar sekolah berusia 17 tahun dan ke bawah terbabit dalam kegiatan 'mat rempit' direkodkan sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.

Terdahulu, Mohd Yusri dalam ucapannya berkata program advokasi kesedaran dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan keselamatan jalan raya dan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan jalan raya.

"Ia bagi mengurangkan kemalangan jalan raya melalui pendidikan dan latihan serta mendorong tingkah laku selamat ketika menggunakan jalan raya, terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.