SHAH ALAM, 23 OKT: Program tangkapan ikan bandar raya (pleco) akan diteruskan susulan kejayaan siri pertama mengurangkan populasi ikan asing yang diadakan sepanjang September lalu.
EXCO pertanian berkata usaha memburu ikan pemangsa dengan menawarkan insentif RM1 bagi setiap kilogram ikan akan diperluas di sungai seluruh negeri sekali gus mengembalikan semula hasil nelayan darat.
"Menerusi penganjuran kali pertama kita berjaya menangkap empat tan ikan bandaraya di Denai Sungai Kebangsaan, Sungai Langat. Berikutan itu, kita akan terusan program ini pada tahun ini juga.
"Dengan memperluas program ini dapat memulihara sungai dan melindungi ekosistem spesis tempatan. Kita kini sedang kenal pasti sungai-sungai lain yang terlibat untuk siri seterusnya," katanya Ir Izham Hashim kepada Media Selangor.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri menawarkan insentif RM1 bagi setiap kilogram tangkapan ikan asing selama sebulan bermula 1 September sebagai langkah memulihara sungai di Selangor dan spesies tempatan.
Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan insentif tangkapan ikan bandar raya sebagai langkah mengurangkan populasi yang menjadi antara penyebab runtuhan tebing sungai dan ban.
Dalam pada itu, Izham turut memaklumkan projek pengukuhan ban di Tanjong Karang dan Kuala Langat yang menelan belanja RM10 juta akan dilaksana dalam masa terdekat.
"Peruntukan ini telah diluluskan dan ban di dua kawasan ini akan menggunakan Sistem Pratuang Skimetik (SPS) yang lebih kukuh, cepat dan murah.
"Kita jangka projek di Kuala Langat ambil masa enam bulan manakala di Tanjong Karang sekitar empat bulan," katanya.
[caption id="attachment_669557" align="aligncenter" width="700"] Peserta menunjukkan dua ekor ikan pleco hasil tangkapannya di Denai Sungai Kebangsaan, Sungai Langat pada 1 September 2024[/caption]
[caption id="attachment_669558" align="aligncenter" width="700"] Ikan Pleco yang ditangkap di sekitar tebing Sungai Langat sempena Program Inisiatif Pemburu Ikan Pleco di Denai Sungai Kebangsaan Sungai Langat, Bangi pada 1 SEPTEMBER 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]