CYBERJAYA, 23 OKT: Belanjawan Selangor 2025 dijangka menyediakan pelan holistik dalam aspek penjagaan dan kebajikan warga emas sebagai persediaan ke arah negara menua menjelang 2030.
EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata sudah tiba masanya Kerajaan Negeri melaksana perancangan rapi dan menumpukan kepada aspek kesihatan fizikal dan mental warga emas.
“Pada tahun depan, kita harus lakukan sesuatu untuk warga emas. Masyarakat menua dijangka berlaku pada 2030 jadi kita perlu bersedia ke arah itu.
“Sebagai contoh, selepas ini kita boleh buat saringan kesihatan khusus untuk warga emas atau prorgam kesedaran mengenai penjagaan makanan,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas merasmikan Persidangan Kesihatan Awam di Universiti Cyberjaya di sini hari ini. Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar.
[caption id="attachment_669572" align="alignright" width="465"] EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin bercakap kepada media selepas merasmikan perasmian Persidangan Kesihatan Awam Selangor di Universiti Cyberjaya pada 23 Oktober 2024. FOTO HARUN TAJUDIN/MEDIASELANGOR.[/caption]
Menjelang 2030, Malaysia dijangka menjadi negara menua dengan populasi warga emas diunjur meningkat secara drastik, iaitu 5.3 juta orang atau lebih 15 peratus daripada populasi negara.
Sementara itu, Jamaliah yang juga EXCO alam sekitar menyasar mengaktif gerak kerja pusat adaptasi perubahan iklim dalam memerangi kesan perubahan cuaca yang semakin serius.
Menurutnya, pusat adaptasi perubahan iklim akan melihat semua faktor keseluruhan alam sekitar khususnya perhutanan dan biodiversiti, perindustrian serta infrastruktur, tenaga dan persekitaran.
“Tahun depan kita akan pastikan kelancaran pusat berkenaan. Kita masih belum mula lagi kerana banyak perkara yang perlu diteliti. Kita sedang fokus untuk pastikan ia direalisasi,” katanya.
Tahun lalu, Jamaliah mengumumkan Majlis Tindakan Iklim Selangor dinaik taraf sebagai pusat adaptasi perubahan iklim melibatkan kos sebanyak RM800,000.
Jamaliah dilapor berkata pusat berkenaan akan menumpukan sembilan sektor utama iaitu sumber air, pertanian, kesihatan, guna tanah, pengurusan sisa dan pengangkutan.
Pembentangan Belanjawan Selangor 2025 dijadual berlangsung pada 15 November depan, bersekali dengan sidang Dewan Negeri Selangor sehingga 29 November.