SHAH ALAM, 23 OKT: Kerajaan memantau lapan ajaran sesat secara dekat di seluruh negara dan tidak hanya menumpukan kepada GISB Holding (GISBH), kata timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Menurut Dr Zulkifli Hasan, risikan dan siasatan terhadap 12 lagi ajaran dipercayai sesat turut dilakukan selain mengaktifkan semula Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (Japas) bagi menangani perkara itu.
"Bukan GISB Holdings (GISBH) sahaja yang kita berikan tumpuan tetapi juga sedang pantau beberapa ajaran yang didapati berkemungkinan ada kesesatan. Kita pantau secara dekat dengan pelbagai agensi.
“Secara rumusannya tindakan. Keperluan undang-undang perlukan kajian mendalam agar segala inisiatif dilakukan mengambil kira dapatan menyeluruh,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Pagi tadi Ketua Pegawai Eksekutif GISBH Datuk Nasiruddin Mohd Ali bersama 21 yang lain, didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Ia susulan pembongkaran aktiviti jenayah kumpulan berkenaan termasuk melakukan penderaan pelajar, eksploitasi kanak-kanak, buruh paksa dan kesalahan jenayah seksual termasuk liwat menerusi Op Global di seluruh negara.
Pada Jumaat, Selangor mewartakan fahaman, ajaran atau amalan ahli GISBH dan rangkaiannya menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor berkata fatwa itu diperkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan disiarkan dalam warta Kerajaan Negeri pada 16 Oktober.
Berikutan itu, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata umat Islam dilarang dan diharamkan beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar atau menyebar ajaran tersebut.