ad
EXCO

Belanjawan 2025: Selangor dapat manfaat besar martabatkan syiar Islam

23 Okt 2024, 6:03 AM
Belanjawan 2025: Selangor dapat manfaat besar martabatkan syiar Islam

SHAH ALAM, 23 OKT: Belanjawan Madani 2025 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu, memberi manfaat besar kepada Selangor dalam memartabatkan syiar Islam.

Merujuk dana tambahan RM25 juta kepada Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, EXCO agama Islam berkata ia membantu menguruskan anak-anak teraniaya dan melaksana pemulihan akidah.

Menurut Dr Fahmi Ngah, Selangor juga paling awal menubuhkan pasukan khas untuk memulihkan kanak-kanak GISB Holdings bersama agensi berkaitan seperti polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Kerajaan Negeri sudi bekerjasama dengan kerajaan pusat dalam usaha memastikan kanak-kanak ini dapat kembali mengamalkan ajaran Islam yang sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, jelasnya, penambahan 1,500 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) juga langkah tepat untuk memenuhi permintaan pendidikan tersebut yang semakin meningkat di Selangor.

Katanya, ia turut selari rekod Selangor sebagai negeri dengan bilangan sekolah agama berdaftar tertinggi menurut data Sistem Maklumat Pendidikan Islam dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Dr Fahmi menambah dana RM20 juta untuk pembiayaan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dan memperkasa sistem MyeHALAL pula membantu memperkukuh industri halal di Selangor.

“Selangor, melalui agensi seperti Jabatan Agama Islam Selangor dan HIS Toyyiba Sdn Bhd bersedia menawarkan kerjasama dan pertukaran kepakaran untuk memastikan pembangunan industri ini.

“Ia selari dengan Pelan Tindakan Halal Selangor 2020-2030 menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1),” jelasnya mengulas belanjawan yang memperuntuk RM2 bilion bagi hal ehwal Islam.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.