SHAH ALAM, 23 OKT: Perkara berkaitan rumah tumpangan dan pemalaman berada bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri yang diselia pihak berkuasa tempatan (PBT), kata menteri pelancongan, seni dan budaya.
Datuk Seri Tiong King Sing berkata berdasarkan Akta Industri Pelancongan 1992, ia memperuntukkan keperluan mendaftar premis penginapan pelancongan termasuk hotel namun bukan bawah seliaan kementeriannya.
Berikutan itu pihaknya bakal mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Negeri, PBT serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhubung kewajaran memasukkan peruntukan mengenai pemberian lesen dan kawal selia tatacara operasi hotel dalam Akta 482.
“Kementerian akan berbincang dengan Kerajaan Negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung kewajaran memasukkan peruntukan mengenai pemberian lesen dan kawal selia tatacara operasi hotel ke dalam Akta 482.
[caption id="attachment_604300" align="alignleft" width="500"] Menteri Pelancongan Datuk Seri Tiong King Sing. Foto BERNAMA[/caption]
“Selain itu akan berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri dalam menyelesaikan isu pengambilan pekerja sektor perhotelan bagi memastikan standard dan perkhidmatan premis sentiasa tinggi terutama melaksanakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Berhubung daftar masuk dan keluar yang menjadi isu ketika ini, beliau berkata pihaknya sudah mengadakan sesi libat urus dengan pengusaha hotel minggu lalu yang turut membincangkan isu kekurangan tenaga kerja di bahagian mengemas.
Pada Ahad, beliau menggesa pengusaha hotel menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.
Ia susulan rungutan orang ramai mengenai ketidakadilan hotel tempatan yang mengubah waktu daftar masuk dan keluar hotel pada 4 petang dan keluar pada 11 pagi, berbanding 3 petang untuk daftar masuk dan 12 tengah hari pada kebiasaannya.