ad
AGENSI

6,000 hadiri Sidang halal Selangor, kukuh hubungan antarabangsa

22 Okt 2024, 1:00 PM
6,000 hadiri Sidang halal Selangor, kukuh hubungan antarabangsa
6,000 hadiri Sidang halal Selangor, kukuh hubungan antarabangsa

SHAH ALAM, 22 OKT: Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2024 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur minggu lalu merekodkan kehadiran lebih 6,000 pengunjung dari seluruh negara.

Pengurus Besar Halal International Selangor (HIS) Toyyiba Sdn Bhd berkata penganjuran Selhac tahun ini memperkukuh hubungan dengan agensi dari Jepun, Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, Korea, China dan Vietnam.

Menurut Muhammad Syaril Showkat Ali, kerjasama berkenaan membantu membuka jalan bagi perkongsian masa depan selain memperluas peluang pasaran dalam industri halal.

“Forum Perluasan Pasaran Halal berjaya menarik pakar pasaran utama dari negara seperti Arab Saudi, China, Amerika Syarikat dan Kanada.

“Sesi ini memfokuskan strategi kepada usahawan yang ingin mengembangkan pasaran selain menawarkan panduan tentang kawal selia pematuhan, penyelidikan pasaran dan strategi pemasaran berkesan,” katanya kepada Media Selangor.

[caption id="attachment_622677" align="alignnone" width="868"] Pengurus Besar HIS Toyyiba Sdn Bhd Muhammad Syaril Showkat Ali[/caption]

Muhammad Syaril menambah, Selhac 2024 turut memperkenal sistem Penilaian Kesediaan Sijil (CRA) iaitu alat perintis bagi membantu usahawan menilai kesediaan bagi memperoleh pensijilan halal.

Jelasnya, sistem CRA memainkan peranan penting dalam memperkemas proses pensijilan dan menjadikannya lebih mudah diakses bagi semua jenis perniagaan.

“Dengan menawarkan laporan komprehensif yang merangkumi anggaran kos dan masa, CRA akan membantu memperkemas proses pensijilan dan menjadikannya lebih mudah diakses untuk semua saiz perniagaan,” katanya.

Selhac 2024 yang bermula 16 hingga 19 Oktober lalu dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 siri dua.

Dengan tema ‘Memantapkan Ekosistem Halal', Selhac 2024 menganjurkan pelbagai forum, sesi padanan perniagaan dan pameran yang menghimpunkan pemimpin industri, penggubal dasar dan perniagaan halal dari seluruh dunia.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.