ad
AGENDA

35 projek bina bangunan tambahan PPKI dilulus tahun depan

22 Okt 2024, 9:43 AM
35 projek bina bangunan tambahan PPKI dilulus tahun depan

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) mendapat kelulusan bagi 35 projek baharu bernilai RM716.4 juta melibatkan pembinaan bangunan tambahan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di seluruh negara tahun depan termasuk pembinaan dua sekolah pendidikan khas.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata dua sekolah pendidikan khas itu adalah Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Tuaran, Sabah dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Johor Bahru, Johor dengan kos RM300 juta yang dijangka memberi manfaat kepada 2,855 Murid Berkeperluan Khas (MBPK).

“Dua sekolah pendidikan khas baharu juga sedang dalam proses pembinaan seperti SMPKV Padawan, Sarawak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Bandar Enstek, Negeri Sembilan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang ingin tahu sama ada kementerian telah mengkaji keperluan untuk memperluas akses sekolah yang menawarkan pendidikan khas serta kadar MBPK hingga kini.

Selain itu, Wong berkata terdapat empat projek penggantian Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) bertujuan mengatasi isu sekolah menumpang iaitu SKPK Taiping, Perak; SKPK Sibu, Sarawak; SKPK Jalan Peel, Kuala Lumpur dan SKPK Seremban, Negeri Sembilan.

Beliau berkata RM10 juta turut disediakan bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa untuk membantu sekolah autisme swasta yang berdaftar dengan KPM.

“Elaun MBPK sebanyak RM150 sebulan terus disediakan dan memberi manfaat kepada lebih 110,000 MBPK termasuk murid autisme serta melibatkan peruntukan sebanyak RM200 juta,” katanya.

Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2025, Wong berkata komitmen kerajaan terhadap pendidikan bagi MBPK dibuktikan menerusikelulusan pembinaan 11 Pusat PERMATA baharu dilengkapi dengan pusat didikan kanak-kanak autistik termasuk di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Sementara itu dalam soalan berasingan, beliau berkata KPM menyalurkan peruntukan RM31 juta tahun ini bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan kecil tandas di 310 sekolah kerajaan di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak yang tidak sempat disiapkan tahun lepas.

Selain itu, Wong berkata KPM juga menyediakan RM134.33 juta peruntukan khas bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan kecil kemudahan tandas kepada sekolah bantuan kerajaan dengan RM124.73 juta sudah disalurkan setakat Oktober ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) berhubung data semasa projek penyelenggaraan tandas institusi pendidikan KPM bagi 2024.

-BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.