SHAH ALAM, 22 OKT: Program pemulihan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISB Holdings (GISBH) berjalan lancar mengikut modul ditetapkan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata setiap modul bersesuaian dengan keperluan mereka selepas pasukan khas yang ditubuhkan membuat penilaian.
“Kita utamakan pengisian anak-anak ini. Sebelum itu kita dekati mereka dan melihat dari semua aspek supaya modul mengikuti perkembangan semasa.
“Hasil dapatan kita selepas berbual, menemuramah mereka, kita sesuaikan. Kita mahu modul ini bersesuaian dengan apa mereka perlukan,” kata Dato Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi.
[caption id="attachment_590656" align="alignleft" width="500"] Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad ditemui di pejabatnya di Shah Alam pada 23 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]
Berhubung status akidah kanak-kanak berkenaan, beliau berkata perkara itu hanya boleh diputuskan pihak mahkamah.
“Setakat ini program pemulihan berjalan lancar dan kita memang tumpukan sepenuhnya,” katanya.
Awal bulan ini, EXCO Agama Islam berkata Kerajaan Negeri menubuhkan pasukan khas bagi meneliti program pemulihan khusus untuk kanak-kanak yang dijumpai di rumah amal GISBH di negeri ini.
Selain Jais, Dr Fahmi Ngah memaklumkan pasukan itu turut dianggotai wakil Majlis Agama Islam Selangor, polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Turut terlibat Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Yayasan Selgate.