ad
AGENDA

Usaha nokhtah miskin tegar libat semua kaum, pastikan tiada tertinggal

22 Okt 2024, 5:34 AM
Usaha nokhtah miskin tegar libat semua kaum, pastikan tiada tertinggal

SHAH ALAM, 22 OKT: Usaha menokhtah miskin tegar dan membasmi kemiskinan di negara ini dilaksana tanpa mengira kaum, kata perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga tidak pernah mendiskriminasi sesiapa atau mana-mana kaum dalam usaha membasmi kemiskinan.

“Pendekatan ini tidak kira kaum. Saya jelaskan. Jadi, saya minta kawan-kawan terima kenyataan. Memang benar, majoriti adalah Melayu Bumiputera, tetapi dalam kategori miskin itu, ada kadar yang lebih, paling miskin itu juga kelompok masyarakat India.

“Saya bagi contoh umpamanya untuk Kuala Lumpur kalau majoriti (miskin tegar) itu Melayu tetapi jumlah masyarakat India (miskin tegar) juga besar.

“Tapi bila kita selesaikan kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, kita tidak ikut kaum. Maknanya, semua masyarakat miskin atau kategori miskin tegar itu diselesaikan.

“Tidak benar sama sekali bila kata miskin tegar (tidak babit semua kaum). Siapa saja masuk golongan miskin tegar, asalkan dia warganegara, dia wajib dibantu tanpa diskriminasi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan berhubung pendekatan Kerajaan dalam menoktah kemiskinan dalam kalangan masyarakat India di negara ini.

Anwar berkata libat urus turut diadakan dengan Kerajaan Negeri di seluruh negata bagi mendapatkan maklumat dan data terkini rakyat miskin dan miskin tegar di kawasan masing-masing.

“Setakat ini Menteri Besar-Menteri Besar bagi kerjasama sepenuhnya. Mengapa perlu kita kerjasama kerana ada daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan, ada Kerajaan Negeri walaupun lebih kecil, tapi ada.

“Juga zakat melalui Majlis Agama Islam dan juga beberapa program kebajikan oleh Kerajaan Negeri. Jadi kita gabungkan itu semua,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.