SHAH ALAM, 22 OKT: Prestasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sentiasa dipantau bagi memastikan ia terus menjadi entiti berprestasi tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemantauan tersebut termasuk keputusan melakukan pengauditan oleh Jabatan Audit Negara terhadap 2,000 GLC mulai tahun depan.
“Saya tegaskan perlu ketua audit campur sebab kadang-kadang kita tidak dapat pantau sehingga peringkat bawah. Kecelaruan banyak juga berlaku di peringkat agensi yang terus catat kerugian tahun demi tahun. Oleh itu, kita harus pertanggungjawabkan mereka.
“Walaupun saya terima kenyataan mereka tidak boleh disamakan dengan sektor swasta kerana ada tanggungjawab terhadap pelaburan dalam negara, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan Bumiputera,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Paya Besar Dato’ Mohd Shahar Abdullah berhubung usaha memantau GLC dan GLIC bagi memastikan keseimbangan antara objektif korporat dan sosioekonomi.
Anwar turut menegaskan prestasi GLC dan GLIC harus dinilai dan syarikat yang tidak mencatat keuntungan atau pengurusan lemah tidak harus menerima bonus yang dianggap 'perkara biasa'.
“Ini sudah kita hentikan sejak tahun lalu. Saya hentikan. Mereka harus juga ambil kira bahawa mereka dipilih untuk penuhi satu tanggungjawab,” katanya.
Selain itu, katanya pelantikan ahli lembaga pengarah GLC dan GLIC dibuat berdasarkan kelayakan dengan mengutamakan golongan profesional, namun tidak mendiskriminasi ahli politik.
Jelasnya, lantikan juga perlu melalui proses semakan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis.
“Institusi kewangan dan beberapa agensi kewangan ahli politik tidak diizinkan sebagai ahli lembaga pengarah. Itu memang tegas dan kita mendukung prinsip yang ditekankan BNM,” katanya.