ad
AGENSI

Dana bina IPD Petaling Jaya perkukuh operasi, tingkat kualiti perkhidmatan

22 Okt 2024, 12:40 AM
Dana bina IPD Petaling Jaya perkukuh operasi, tingkat kualiti perkhidmatan

SHAH ALAM, 22 OKT: Peruntukan dalam Belanjawan 2025 untuk membina Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya adalah langkah tepat seiring status sebagai bandar raya.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pembinaannya juga memperkukuhkan operasi pasukan keselamatan itu sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.

“Saya menghargai keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2025 kerana rancangan untuk membina IPD di Petaling Jaya telah tertangguh sekian lama.

“Ia memandangkan Petaling Jaya telah mencapai status bandaraya jadi pembinaan balai polis baharu amat diperlukan dalam usaha memelihara keselamatan orang awam,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam pada itu, Hussein turut memaklumkan Polis Selangor turut menerima dana RM6.7 juta melalui Peruntukan Madani Kementerian Dalam Negeri 2023 bagi melaksanakan pembaikan dan penyelenggaraan kuarters polis.

“Kebanyakan kuarters sangat daif terutamanya dari segi keluasan kuarters itu yang dibina mengikut piawaian 30 tahun lalu,” ujarnya.

Pada Jumaat, Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan empat pejabat polis baharu akan dibina dengan kos RM2.1 bilion membabitkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, IPD Wangsa Maju, IPD Petaling Jaya dan Balai Polis Tanjung Minyak di Melaka.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.